Selangorkini
SELANGOR

Mesyuarat jurutera awam medium kongsi idea

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 25 JUN: Seramai 237 jurutera awam Jabatan Kerja Raya (JKR) dari seluruh negara menyertai Mesyuarat Jurutera Awam JKR Malaysia 2019, di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, di Kompleks Tabung Haji, Sepang semalam.

Pengarah JKR Selangor, Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz berkata, mesyuarat bertemakan Jurutera Awam: Pemacu Infrastruktur Negara itu bagi menjana idea bersama dalam usaha melahirkan jurutera awam sebagai generasi pelapis yang bakal memimpin jabatan, pada masa hadapan.

“Ia adalah satu program mesyuarat tahunan yang mengumpulkan jurutera awam dari seluruh JKR malaysia bagi tujuan memperkasa jurutera awam.

“Selain itu, ia sangat bertepatan dengan peranan JKR sebagai pemaju dan pemangkin dalam pembangunan infrastruktur di Malaysia,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan.

Turut hadir, EXCO Infrastruktur Dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hisham; Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya (Pengurusan), Dato’ Ong Gua Pak; Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia, Dato’ Ir Dr Meor Abdul Aziz Osman dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor, Datuk Ir Ruslan Abdul Aziz

Mesyuarat jurutera awam berkenaan dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 24 Jun hingga 26 Jun ini meliputi pembentangan kertas kerja, sesi mesyuarat dan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Antara aktiviti dijalankan ialah ceramah laluan kerjaya bagi pelajar sekolah menengah dan pendidikan tinggi, pameran teknikal, ceramah professional, ceramah industri dan sesi ‘townhall’.

Pada masa sama, Ruslan berkata, program itu seiring visi jabatan sebagai pusat kecemerlangan kejuruteraan dalam bidang pengurusan projek, pengurusan aset dan perkhidmatan kejuruteraan demi pembangunan infrastruktur negara.

Beliau turut berharap, warga JKR sentiasa bersedia melakukan perubahan dan pembaharuan positif demi membina Malaysia yang inkusif dan gemilang di persada dunia.

“Saya menaruh harapan supaya program ini akan berjaya mencapai objektif dengan kerjasama daripada semua pihak terbabit,” katanya.

 


Pengarang :