SELANGOR

Mid’s Choco Jar Raya kini di Shopee

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 11 JUN: Ketika ramai tukang jahit pakaian dan pembuat kuih raya sibuk menyiapkan tempahan sebelum ketibaan Syawal, situasi sama turut dirasai pengusaha ‘Mid’s Choco Jar’ yang tidak putus menerima pesanan pelanggan dari seluruh negara.

Menggunakan pelantar digital Shopee bagi memasarkan produk berkenaan, Hamidah Abdul Rahman, 31, berkata permintaan terhadap choco jar agak memberangsangkan sejak berdaftar melalui medium dalam talian itu, dua bulan lalu.

Malah katanya, bilangan pengguna dan pengikut di halaman Mid’s Choco Jar juga semakin bertambah yang mendorong kepada peningkatan jualan produk berkenaan.

“Buat masa ini, kebanyakan tempahan diterima dari semenanjung Malaysia sahaja dan kami tidak menerima sebarang tempahan dari Sabah serta Sarawak atas beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan seperti kos penghantaran.

“Sama seperti biskut raya dijual pengusaha lain, choco jar didatangkan khas dengan empat perisa berlainan antaranya, ‘Kinder Bueno’, ‘Chocolate White’, ‘Cream and Cookies’ dan buah-buahan.

“Terdapat dua pilihan saiz choco jar iaitu RM9 (kecil) manakala RM14 (besar) dengan menggunakan coklat yang bermutu tinggi.

“Berbeza dengan choco jar biasa, untuk edisi raya, choco jar dibungkus dalam paket kecil dan diletakkan di dalam satu balang, jadi boleh dikongsi beramai-ramai serta dihidangkan kepada tetamu pada hari raya nanti,” kata ibu kepada dua anak itu.

Menguruskan operasi bersama suami Hizam Mohd Yusoff, 35, di sebuah kedai yang terletak di Setia Alam, pasangan itu turut dibantu dua pekerja yang bersedia menyiapkan semua tempahan pelanggan.

Selain tempahan dalam talian, Hamidah berkata, produk berkenaan turut dijual di kedai runcit terpilih termasuk kedai serbaneka di stesen minyak sekitar Lembah Klang.

“Pada awalnya, kami banyak memasarkan choco jar secara ‘offline’ iaitu di 150 outlet dan sasaran kami adalah untuk melebarkan sayap jualan ke 500 hingga 1,000 outlet sehingga penghujung tahun ini.

“Bagaimanapun, kami akan terus aktif menggunakan medium Shopee untuk mempromosikan produk ini kerana ia salah satu cara pemasaran yang dapat membantu melonjakkan hasil pasaran seseorang usahawan,” katanya.


Pengarang :