PENDIDIKANSELANGOR

Misi julang nama Selangor berkonsepkan ‘English Style’

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

SEMENYIH, 14 JUN: Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Tasik Kesuma membawa misi bagi mewakili Selangor dalam Pertandingan Pengurusan Kantin Terbaik Peringkat Kebangsaan yang bakal diadakan pada Julai ini.

Guru Besar SK Bandar Tasik Kesuma, Noridah Abdul Aziz berkata, konsep ‘English Style’ dipilih dalam menyertai pertandingan yang membabitkan 64 sekolah di seluruh Malaysia itu.

“Kantin sekolah ini dinamakan sebagai KePS Blue Cafe yang mempunyai ruang santai serta sudut bacaan bagi membuka peluang kepada pelajar dan guru untuk berehat.

“Pada masa sama, semasa proses menghias kantin ini, pihak pengurusan kantin sekolah menerapkan sistem ‘3R’ iaitu pengurangan, guna semula dan kitar semula supaya dapat menjimatkan kos juga pengurangan penggunaan straw serta polisterine dalam kalangan pelajar.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Guru SK Bandar Tasik Kesuma, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan Nor Zuwairi Zakwa dan Pegawai Perhubungan Sekolah, Mohd Asri Halidi.

Noridah berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan pengeluar susu terkemuka, Fresh Farm Sdn Bhd bagi memupuk kesedaran pelajar terhadap minuman berkhasiat sekaligus menerapkan amalan minuman susu segar dalam kehidupan seharian mereka.

“Menerusi program ini, kami harap memperoleh kejayaan serta menerapkan unsur nilai murni kepada pelajar sekolah rendah,” katanya.

Terdahulu, SK Bandar Tasik Kesuma dinobatkan sebagai Johan Kategori Enrolmen Kuiz dalam Pertandingan Dengue Patrol Peringkat Kebangsaan.


Pengarang :