Selangorkini
EKONOMI

Model perniagaan aset ringan kaedah sesuai tangani risiko – AirAsia

 

SEPANG, 17 Jun : Langkah Air Asia Group untuk menjual pesawatnya merupakan kaedah sesuai bagi mengelakkan risiko, menurut Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Tan Sri Tony Fernandes.

Beliau berkata syarikat penerbangan tambah rendah itu beralih kepada model perniagaan aset ringan berbanding model tradisional dengan memiliki pesawat berikutan kaedah itu lebih sesuai dan murah dalam pasaran semasa yang tidak menentu.

“Ada yang beranggapan kami sebagai syarikat penerbangan aset ringan kerana akan menjadi syarikat digital. Itu bukan kesnya…kami hanya aset ringan kerana pasaran menjadikan ia sesuai untuk memajak pesawat. Lebih murah untuk memajak pesawat berbanding membeli kapal terbang di pasaran semasa.

“Kini, sekiranya kadar faedah (dijangka) dikurangkan, lebih murah untuk membeli pesawat. Jadi, kami hanya memberi maklum balas berdasarkan situasi pasaran,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan dek tinjau pesawat yang pertama di Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur oleh Malaysia Airports Holdings Bhd di sini, hari ini.

Selain itu, Fernandes berkata AirAsia telah membuat perubahan terhadap pesanan pesawatnya daripada CEO (pilihan enjin klasik) kepada NEO (pilihan enjin baharu), dan sehubungan itu, pelupusan pesawatnya adalah sesuai bagi mengelakkan risiko.

“Kami menjual (pesawat) pada harga yang sangat tinggi di pasaran dan pembayaran dividen kepada pemegang saham. Jadi, ia merupakan penyelesaian yang bijak. Memandangkan kami kini merupakan aset ringan, ini tidak bermakna kami akan menjadi aset ringan untuk selama-lamanya. Jika kadar faedah mengalami perubahan, kami akan mula membeli semula kapal terbang.

“Namun, pada asasnya, bagi mengatasi perolehan yang tidak menentu, saya berharap di masa akan datang, perniagaan digital dan sampingan kami akan menyumbang 70 peratus dan 30 peratus terhadap pendapatan,” katanya.

Menyifatkannya sebagai hasrat yang tinggi, Fernandes berkata ia mampu dicapai berdasarkan usaha syarikat dalam dunia digital dan menurutnya, AirAsia menyasar perniagaan digital akan menyumbang 70 peratus kepada perolehan sekiranya syarikat penerbangan itu mencapai kemajuan yang baik dalam segmen digital.

AirAsia dilapor menukar model perniagaan tradisionalnya daripada memiliki pesawat kepada model aset ringan sebagai langkah yang akan memberikan manfaat ketara bagi mengurangkan liabiliti kewangannya.

Semasa persidangan AirAsia bersama penganalisis pada Mei, pihak pengurusannya berkata syarikat itu menyasar penjualan 19 lagi pesawat tahun ini dan AirAsia akan memiliki hanya satu pesawat menjelang tempoh akhir langkah pelupusan pesawat. -BERNAMA


Pengarang :