Mohamad beri penghormatan terakhir Allahyarham Ani Yudhoyono di Singapura | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Mohamad beri penghormatan terakhir Allahyarham Ani Yudhoyono di Singapura

SINGAPURA, 1 JUN: Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu meluangkan masa menziarah jenazah Allahyarham Ani Yudhoyono, isteri bekas Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono, di Kedutaan Besar Indonesia di Singapura.

Mohamad kebetulan berada di Singapura untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-18, Dialog Shangri-La (SLD) selama tiga hari bermula semalam.

Ani Yudhoyono, 66, meninggal dunia pada 11.50 pagi tadi akibat kanser darah di National University Hospital.


Beliau menjalani rawatan penyakit kanser darah di hospital itu sejak Februari lepas.

Dilahirkan pada 6 Jun 1952, Ani Yudhoyono menjadi wanita pertama Indonesia semasa pemerintahan suaminya bagi tempoh 2004 hingga 2014.

Sementara itu, Minister Councellor Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Singapura Berlianto Situngkir memberitahu Bernama terdapat perubahan waktu untuk membawa pulang jenazah.

“Jenazah Ibu Ani akan di bawa pulang malam ini juga dengan pesawat khas Hercules dari pangkalan udara Paya Lebar,” katanya.

Terdahulu dilaporkan waktu ditetapkan pada pukul 7 pagi esok sebelum disemadikan di Taman Makam Pahlawan Nasional Utama Kalibata di Jakarta.

Turut mengiringi jenazah pulang ke Jakarta adalah suaminya Yudhoyono dan Duta Besar Indonesia ke Singapura Gusti Ngurah Swajaya.

– BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next