BERITA UTAMANASIONAL

Mohamad ke Singapura hadiri 18th IISS Asia Security Summit Shangri-La Dialogue

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 JUN: Menteri Pertahanan Malaysia, Mohamad Sabu menghadiri 18th IISS Asia Security Summit Shangri-La Dialogue selama tiga hari dan berakhir esok di Hotel Shangri-La, Singapura.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan memaklumkan, persidangan itu adalah program tahunan bertaraf antarabangsa membabitkan tokoh-tokoh penting dalam kalangan kerajaan dan bukan kerajaan di rantau Asia Pasifik serta di luar rantau

Persidangan ini juga membuka peluang kepada semua pihak membincangkan isu-isu keselamatan semasa dan akan datang.

Mohamad dijadualkan menyampaikan ucapan bertajuk ‘Asia’s Evolving Security Order and its Challenges’ semasa sesi plenari ketiga pada hari ini bersama-sama Menteri Pertahanan France dan United Kingdom.

Beliau akan turut mengadakan pertemuan dua hala dan pelbagai hala sesama rakan sejawatan bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan polisi pertahanan dan juga berkaitan cabaran dalam mengekalkan keselamatan serantau di samping menubuhkan jaringan hubungan serta kerjasama pertahanan antara negara terlibat.

Mohamad turut berpeluang bertemu dengan Menteri Pertahanan New Zealand, Ron Mark dalam satu mesyuarat dua hala, semalam.

Kedua-dua Menteri ini menyelar tindakan keganasan di Christchurch dan mengakui hubungan baik antara kedua-dua negara serta memastikan hubungan itu akan terus maju terutama melalui platform Perjanjian Pertahanan Lima Negara (FPDA).

Selain itu, Mohamad turut bertemu beberapa pemimpin lain seperti Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen, Menteri Pertahanan Kanada, Harjit Singh Sajjan dan Setiausaha Pertahanan United Kingdom, Penny Mordant.


Pengarang :