NASIONAL

Mohamad Nasir pengerusi baharu PLUS

PETALING JAYA, 29 JUN: Dato’ Mohamad Nasir Ab. Latif dilantik sebagai Pengerusi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) baharu, berkuat kuasa 27 Jun 2019, kata syarikat itu dalam kenyataan.

Pelantikan itu menggantikan Tan Sri Dato’ Mohd Sheriff Mohd Kassim yang memilih untuk bersara berkuat kuasa 27 Jun lalu setelah hampir 17 tahun menerajui Kumpulan PLUS.

Mohamad Nasir, yang juga Ahli Lembaga Pengarah PLUS Malaysia Berhad sejak 31 Disember 2013, memulakan kerjayanya dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada 1982 dan memegang beberapa jawatan sebelum dilantik menjadi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) KWSP.

Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Ekonomi) dari Universiti Sains Malaysia dan memperolehi Diploma Perakaunan dan Kewangan dari Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) pada tahun 1996. Beliau juga memiliki Sarjana Sains dalam Analisis Pelaburan dari Universiti Stirling, United Kingdom (1999).

Mohamad Nasir juga merupakan ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Plantation Berhad, Malaysian Resources Corporation Berhad, Yinson Holdings Berhad, BBCC Development Sdn Bhd, Yarra Park City Pty Ltd, PNB-Kwasa International Holding Limited, PNB-Kwasa International 1 Limited dan PNB-Kwasa International 2 Limited.

“Sepanjang tempoh itu, Mohd Sheriff berjaya memimpin serta memacu kumpulan PLUS untuk menjadi sebuah organisasi berprestasi tinggi dan terus kekal relevan sebagai syarikat konsesi lebuh raya terbaik dalam kelasnya pada peringkat negara serta global,” kata Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail.

Di bawah kepimpinan Mohd Sheriff, PLUS menempa pelbagai kejayaan dan pencapaian antaranya penyenaraian awam PLUS Expressways Berhad di Bursa Malaysia pada 2002, penjenamaan logo korporat PLUS baharu, transformasi digital di lebuh raya serta wajah baru kawasan rehat dan rawat.


Pengarang :