SELANGOR

MPSJ anjur pertandingan Perpustakaan Keluarga Kreatif

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 11 JUN: Orang ramai yang mempunyai perpustakaan mini di rumah dipelawa menyertai pertandingan Perpustakaan Keluarga Kreatif anjuran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Penolong Pengarah Kanan Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSJ, Nurfazian Kasim berkata, pertandingan itu terbuka kepada penduduk yang menetap di kawasan pentadbiran MPSJ dan memiliki sudut perpustakaan mini serta dihias dengan inovasi tersendiri.

“Matlamat utama pertandingan ini supaya wujud ruang yang dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan melalui bahan bacaan.

“Kita turut mahu komuniti khususnya keluarga sentiasa dekat dengan ilmu kerana MPSJ percaya gejala sosial dapat dielakkan bermula dari rumah,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Nurfazian yang juga penyelaras pertandingan berkata, RM2,550 bakal menanti pemenang dengan johan bakal membawa pulang wang tunai RM800, naib johan RM600, ketiga RM400 sementara lima pemenang saguhati akan menerima RM150 setiap seorang.

“Pihak kami mengalu-alukan penyertaan daripada semua warganegara Malaysia sebelum pertandingan ditutup pada 30 Jun ini.

“Yuran penyertaan hanya RM20 dan mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan menghubungi Shariza di talian 01110036065,” katanya.


Pengarang :