PBT

MPSJ lancar tabung amal bantu golongan B40

OLEH SHEEDA FATHIL

SUBANG JAYA, 21 JUN : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melancarkan Tabung Amal MPSJ bertujuan mengumpul dana untuk membantu golongan B40 di sekitar kawasan terbabit.

Yang Dipertuanya, Noraini Roslan berkata, tabung yang julung kali diwujudkan itu adalah aspirasi beliau sendiri dan disokong serta diluluskan oleh Ahli Majlis dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan Bil 05/2019 pada 15 Mei, lalu.

Katanya, dana yang dikumpulkan menerusi Tabung Amal MPSJ itu akan digunakan untuk membantu golongan B40 dari segi pendidikan, infrastruktur dan pembangunan modal insan.

“Alhamdulillah, sempena pelancaran tabung amal pada hari ini, kita sudah menerima sumbangan hampir RM25,000 daripada beberapa individu dan syarikat.

“Malah, sebanyak empat komputer riba turut disumbangkan daripada Smart Selangor Delivery Unit, SmartSel Sdn Bhd, KDEB Waste Management Sdn Bhd dan Landasan Lumayan Sdn Bhd.

“Bagaimanapun, kita optimis lebih banyak sumbangan diberikan kepada Tabung Amal MPSJ dari semasa ke semasa sekaligus kita dapat membantu golongan B40 di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media selepas Pelancaran Tabung Amal MPSJ dan Majlis Jamuan Hari Raya MPSJ 2019, di sini, hari ini.

Selain membantu pelajar cemerlang, Noraini berkata, dana Tabung Amal itu juga akan digunakan untuk pembaikan infrastruktur rumah kos rendah seperti tangki air atau perkara lain yang tidak mampu penduduk laksanakan ekoran kekangan kewangan.


Pengarang :