NASIONAL

MSM diniaga RM1,920 – RM2,020 satu tan minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan antara RM1,920 dan RM2,020 satu tan minggu depan ketika ketidaktentuan ekonomi global.

Peniaga Kanan Interband Group of Companies, Jim Teh berkata, bagaimanapun pasaran akan disokong oleh jangkaan terhadap inventori yang rendah pada masa depan.

“Paras harga semasa masih dikategorikan menarik kepada pembeli fizikal yang menyebabkan stok MSM berkurangan baru-baru ini,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, beliau berkata peniaga dijangka kekal berhati-hati terhadap perkembangan rundingan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China minggu depan.

Bagi minggu yang baru berakhir, MSM diniagakan bercampur-campur, menjejaki pergerakan minyak makan saingan yang lain selain pergerakan ringgit berbanding dolar US.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, Julai 2019 merosot RM6 kepada RM1,998 satu tan manakala Ogos 2019 meningkat RM3 kepada RM2,011 satu tan, September 2019 naik RM7 kepada RM2,022 satu tan dan Oktober 2019 menambah RM1 kepada RM2,040 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 227,668 lot daripada 219,641 lot minggu lepas, manakala kepentingan terbuka berkurangan kepada 248,844 kontrak berbanding 258,863 kontrak sebelum ini.

Di pasaran fizikal, Julai Selatan berada pada RM2,020 satu tan.

– BERNAMA


Pengarang :