MTUC mahu penjagaan pekerja melalui pembaharuan undang-undang buruh | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Afeeqa Afeera

MTUC mahu penjagaan pekerja melalui pembaharuan undang-undang buruh

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Elaun kos sara hidup (COLA) sebanyak RM300, cuti bersalin 98 hari, cuti paterniti tujuh hari, cuti bergaji 30 hari bagi pekerja beragama Islam untuk mengerjakan Haji dan elaun perumahan mengikut bandar adalah antara pembaharuan menyeluruh bagi pekerja di negara ini yang diperjuangkan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).

Ini adalah antara cadangan yang dikemukakan badan yang menaungi pekerja itu kepada kerajaan yang sedang dalam proses untuk mengkaji semula tiga undang-undang buruh utama seperti yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14.

Apa yang diistilahkan sebagai tawaran untuk meninggikan martabat tenaga kerja Malaysia yang didakwanya tidak diberi pengiktirafan sewajarnya, MTUC meminta Majlis Penasihat Buruh Kebangsaan (NLAC) supaya memastikan kerajaan dan majikan memberi sepenuh keutamaan kepada keselamatan pekerjaan di samping pekerjaan yang bersesuaian.


Setiausaha Agung MTUC, J. Solomon berkata undang-undang buruh di Malaysia ketinggalan zaman kerana kebanyakannya daripadanya digubal dalam tahun 1950-an dan 1960-an.

“Persekitaran telah berubah selepas bertahun-tahun, dan terdapat pengiktirafan yang lebih besar tentang martabat manusia, nilai manusia, hak pekerja. Pembaharuan menyeluruh membabitkan pelbagai undang-undang buruh sudah lama tertangguh.

“Kami berterima kasih kepada Menteri Sumber Manusia yang memulakan Pembaharuan Undang-undang Buruh di bawah kerajaan baharu yang diperjuangkan MTUC sejak 1970-an,” katanya dalam satu kenyataan.

Cadangan itu termasuk menaikkan gaji minimum daripada RM2,000 sebulan kepada RM10,000 bagi pekerja yang dilindungi di bawah Akta Pekerjaan 1955, cuti bersalin dinaikkan daripada 60 hari kepada 98 hari, dan cuti paterniti sebanyak tujuh hari.

Cadangan lain termasuk memastikan pekerja tempatan dan warga asing dilindungi di bawah Akta Pekerjaan, waktu rehat 15 minit bagi setiap dua jam bekerja bagi membolehkan pekerja melakukan senaman ringan untuk menambah baik kesihatan mereka dan mengurangkan kos perubatan dan pemeriksaan kesihatan, perundingan dan semua rawatan yang perlu ditanggung oleh majikan.

MTUC juga berkata sekiranya terdapat lebih daripada 100 pekerja, majikan perlu menyediakan pusat jagaan kanak-kanak dalam lingkungan persekitaran syarikat atau pilihan lain, membayar elaun RM300 sebagai subsidi penjagaan kanak-kanak yang berusia tujuh tahun dan ke bawah, sehingga maksimum lima kanak-kanak.

Menerusi cadangan itu, majikan turut digesa supaya menyediakan bilik yang selamat dan bersih bagi ibu yang menyusu, menaikkan cuti sakit kepada 30 hari (sekarang 15 hari) dan 60 hari kemasukan di dalam wad tanpa mengira jumlah tahun perkhidmatan mereka dan pekerja boleh menggunakan cuti sakit yang tidak digunakan untuk kemasukan ke hospital sebagai tambahan kepada kemasukan ke hospital selama 60 hari.

Kesatuan sekerja itu turut mencadangkan COLA sebanyak RM300 sebulan, faedah pemberhentian minimum dua bulan bagi setiap tahun perkhidmatan tanpa mengira bilangan tahun perkhidmatan.

MTUC berkata semua pekerja beragama Islam harus diberi cuti 30 hari bergaji penuh untuk mengerjakan haji.

Cadangan lain termasuk elaun perumahan RM300 kepada pekerja di kawasan bandar atau pilihan lain, menyediakan subsidi ke atas kadar faedah pinjaman perumahan bagi mereka yang berpendapatan kurang daripada RM10,000.

Tiga undang-undang yang akan dikaji semula adalah Akta Pekerjaan 1955, Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan Akta Kesatuan Sekerja 1959.

Mengenai keanggotaan dalam kesatuan yang berjumlah hanya kira-kira enam peratus daripada tenaga kerja pada hari ini, MTUC mencadangkan supaya setiap pekerja diwajibkan menganggotai kesatuan memandangkan setiap pekerja mempunyai hak untuk diwakili kesatuan dalam isu berkaitan pekerjaan.

Solomon berkata matlamat Malaysia untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi bukan sahaja memerlukan pekerja berkualiti tetapi juga majikan berkualiti memandangkan kesejahteraan dan martabat pekerja adalah penting untuk meningkatkan produktiviti.

“MTUC yakin kerajaan dan majikan akan memberi pertimbangan serius kepada cadangan berkenaan.

“Keperluan untuk merapatkan jurang pendapatan tidak boleh ditangguhkan dan semua pemegang kepentingan perlu mengubah corak pemikiran mereka dalam berkongsi kekayaan negara secara saksama memandangkan setiap rakyat Malaysia perlu menyumbang ke arah kemajuan negara,” katanya.

-BERNAMA

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next