KUALA LUMPUR, 17 Jun — Peninju Profesional Negara,Farkhan Haron bergambar bersama tali pinggang yang dirangkul iaitu tali pinggang Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia Lightweight dan Asia Boxing Federation (ABF) Cruiserweight Championship selepas sidang media mengenai perlawanan ke-10 beliau iaitu Kejuaraan WBA Asia 2019 di Wisma Olimpik Council Malaysia hari ini. Farkhan akan menentang Alexander Bajawa dari Indonesia yang akan berlangsung di Pattaya, Thailand pada 30 Jun ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
SUKANKINI

Muhammad Farkhan intai gelaran profesional keempat

 

KUALA LUMPUR, 17 Jun : Peninju profesional negara, Muhammad Farkhan Haron menyasarkan kejuaraan keempat dalam karier profesionalnya apabila bakal berdepan penyandang tali pinggang Cruiserweight kejuaraan Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia, Alexander Bajawa di Pattaya, Thailand, 30 Jun ini.

Peninju kelahiran Johor itu yang memulakan karier profesionalnya pada 2015, bagaimanapun menegaskan, beliau menghormati lawannya dari Indonesia itu yang mencatat rekod cemerlang dengan 43 kemenangan, lapan kekalahan dan empat keputusan seri.

Muhammad Farkhan, 31, yang memegang rekod sembilan kemenangan tanpa kalah, mengakui kejayaan mengalahkan Bajawa pada pertarungan tanpa gelaran di Bangkok, Disember lepas, adalah berbeza pada perlawanan kali ini membabitkan perebutan tali pinggang.

“Beliau merupakan bekas juara Persatuan Tinju Asia (WBA) dan Organisasi Tinju Dunia (WBO) dan sangat berpengalaman, selain masih bertahan walaupun menjangkau usia 37 tahun, tapi saya yakin dengan diri saya untuk atasinya,” kata beliau pada sidang media, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, bekas peninju kebangsaan itu menjelaskan beliau telah menjalani latihan intensif sejak beberapa minggu lepas di Singapura dan Indonesia di bawah jurulatih peribadinya, Zulkifli Yaacob yang menjadi nadi kejayaannya meraih pingat emas sebanyak empat kali berturut-turut pada Sukan Malaysia (Sukma).

Muhammad Farkhan mengakui latihan di Singapura menjadi medan terbaik untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Bajawa kerana rakan sepelatih di sana, mempunyai keadaan fizikal yang hampir dan lebih besar daripada dirinya.

“Saya cuma ada masa kurang dua minggu untuk menurunkan berat badan saya daripada 96kg kepada 90kg sebelum 29 Jun ini kerana berat saya akan ditimbang pada hari berkenaan sebelum bertarung pada keesokan harinya,” jelas beliau.

Untuk rekod, Muhammad Farkhan memenangi tali pinggang kategori Cruiserweight WBC Asia di Singapura pada 2016, disusuli tali pinggang kategori Light Heavyweight WBC Asia di Johor Bahru pada 2017.

Beliau terus mengharumkan nama negara setelah meraih tali pinggang kategori Cruiserweight Persekutuan Tinju Asia (ABF) di Manila, tahun lepas. -BERNAMA


Pengarang :