NASIONAL

Negara Eropah jual barang ke Malaysia diminta henti burukkan kelapa sawit

LONDON, 18 JUN: Negara Eropah yang menjual pelbagai barangan kepada Malaysia diminta supaya tidak meneruskan usaha memburukkan minyak kelapa sawit, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita boleh berbuat demikian tetapi sama ada mereka terima atau tidak itu lain perkara.

“Ini boleh kita lakukan dan banyak lagi bekalan dari Eropah yang boleh kita guna untuk meminta mereka supaya tidak memburukkan penggunaan minyak sawit,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin sebelum mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke United Kingdom (UK).

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya pemberita mengenai cadangan penggabungan syarikat telekomunikasi Malaysia iaitu Axiata dengan Telanor dari Norway, antara negara yang menentang penggunaan minyak kelapa sawit.

Norway merupakan negara pertama di dunia melarang penggunaan dan pembelian bahan api bio diesel yang mengandungi minyak sawit atas alasan penanaman kelapa sawit membawa kepada kemusnahan hutan semula jadi.

Dalam lawatan kerja tiga hari ke UK, Dr Mahathir diiringi Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

-BERNAMA


Pengarang :