NASIONAL

NGO Felda hargai keprihatinan kerajaan beri bantuan Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Felda menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih terhadap kerajaan dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana memberikan bantuan khas Hari Raya kepada 112,635 peneroka di seluruh negara.

Bagi mereka bantuan khas sebanyak RM300 itu sedikit sebanyak meringankan beban para peneroka untuk persediaan menyambut Aidilfitri.

Ketua Peneroka Kebangsaan Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata tindakan kerajaan yang turut menyarankan agar pembayaran tertunggak Sara Hidup dan Pendahuluan Hasil kepada warga Felda juga patut dipuji.

“Kesungguhan kerajaan memberi bantuan tersebut amat melegakan warga Felda bagi membuat persediaan menjelang Aidilfitri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kenyataan sama, Timbalan Ketua Peneroka Kebangsaan Karib Mohd Saleh berkata sumbangan duit raya berkenaan juga membuktikan kerajaan prihatin dalam memastikan kebajikan dan kesejahteraan peneroka dipelihara di saat harga pasaran sawit yang rendah ketika ini.

Perdana Menteri pada 31 Mei lepas mengumumkan bantuan berjumlah RM34 juta itu disalurkan selepas kerajaan mengambil kira beban kewangan ditanggung golongan sasar yang perlu menunggu untuk pokok kelapa sawit mengeluarkan hasil.

Presiden Majlis Belia Felda Malaysia Muhammad Fadzil Hasan turut memuji keprihatinan kerajaan kerana tetap memberi bantuan khas berkenaan walaupun agensi itu sedang berdepan masalah kewangan. – BERNAMA


Pengarang :