BERITA UTAMANASIONAL

Nue manfaat masa senggang bantu insan memerlukan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 JUN: Tidak semua individu sanggup menghulurkan tangan meringankan beban golongan memerlukan dengan rela hati tanpa mengharapkan ganjaran berbentuk material.

Namun, berbekalkan minat dan kesungguhan dalam aktiviti kesukarelawan mendorong Nurul Falaah Zainal Abidin, 24, untuk terus menjalankan khidmat bakti kepada masyarakat.

Biarpun sibuk menguruskan perniagaan tudung dan kanta lekap, Falaah atau lebih mudah disapa dengan panggilan Nue sering mendahulukan kemaslahatan serta manfaat insan lain berbanding kepentingan diri sendiri.

Selain sanggup berkorban tenaga, Nue berkata, dia sentiasa mencari kesempatan yang ada untuk bersama anak-anak yatim atau ibu tunggal di salah sebuah rumah perlindungan, iaitu Rumah Nur Hati, Ampang.

“Saya sering menjalankan kegiatan ini bersama rakan-rakan pengikut di laman sosial Instagram dan mereka secara sukarela mahu membantu anak-anak di Rumah Nur Hati.

“Sudah menjadi tanggungjawab menyantuni golongan yang memerlukan perhatian ini kerana ia bukan sahaja mendidik diri saya membuat kebaikan, malahan dapat mengelakkan daripada melakukan kerja sia-sia.

“Saya menyarankan remaja di luar sana untuk ikut serta bersama kami menyumbang kepada masyarakat melalui aktiviti kesukarelawan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Bercerita lanjut, graduan Diploma Pengurusan Pejabat dari Kolej UNIKOP itu berkata, dia bersama 20 sukarelawan yang kebanyakannya terdiri daripada mahasiswa dan komuniti Instagram sering menyantuni penghuni Rumah Perlindungan Nur Hati, pada bulan ini.

Katanya, seramai 40 kanak-kanak berusia antara tiga hingga 18 tahun terpilih menerusi Projek Amal Baju Raya 2019 yang memasuki tahun keempat itu.

“Setiap tahun saya akan buat program khusus bersama mereka dan mewar-warkan program ini di Instagram supaya orang ramai dapat menyalurkan sumbangan yang bukan sahaja dalam bentuk wang ringgit, malahan ada juga beras dan baju terpakai.

“Apabila dana sudah cukup, saya akan bawa anak-anak dari rumah perlindungan ini ke pusat membeli belah untuk membeli kelengkapan raya.

“Tetapi selama tempoh empat tahun buat program ini, memang ramai yang menderma, bahkan setiap tahun ia melebihi sasaran dan baki selebihnya boleh diberikan kepada mereka untuk menyambut Syawal,” katanya.

Dalam pada itu, Nue berkata, dia bersama rakan-rakan sukarelawan turut berada di PrimaValet Wangsa Maju pada 1 Jun ini untuk meraikan golongan terbabit membeli barangan raya.

“Tahun ini patut bayar PrimaValet sebanyak RM7,000 dan anak-anak ini boleh beli apa sahaja yang mereka mahu.

“Seperti tahun lalu, saya memperuntukkan RM250 setiap seorang sebab dapat dana lebih,” katanya.


Pengarang :