GLOBAL

OIC tekad pastikan Palestin aman, Al-Quds ibu negara

MAKKAH, 1 JUN: Sesi ke-14 Persidangan Kemuncak Islam (Kemuncak OIC) berakhir dengan para pemimpin menggariskan solidariti Palestin sebagai isu penting kepada negara-negara Islam.

Negara anggota OIC dalam kenyataan menyatakan bahawa mereka akan berusaha menamatkan pendudukan Israel ke sempadan Arab dan Palestin yang diduduki sejak 1967.

Mereka mengesahkan lagi solidariti bersama-sama penduduk Palestin dalam perjuangan mereka terhadap pendudukan dan hak mereka untuk menikmati kehidupan di negara yang bebas dan sejahtera dengan Al-Quds sebagai ibu negara.

Deklarasi itu juga mengecam semua cubaan untuk menghubungkan keganasan kepada mana-mana kewarganegaraan, peradaban atau agama dan menolak peruntukan bagi sebarang sokongan terus atau tidak langsung kepada kumpulan dan pertubuhan serta menjadikan undang-undang penghalang dan kawalan bagi berhadapan pihak pemusnah itu.

Dokumen itu menggesa komuniti antarabangsa agar mengambil tanggungjawabnya dalam memelihara keamanan dan keselamatan di rantau ini di belakang serangan pengganas terhadap Arab Saudi dan Emiriyah Arab Bersatu.

Negara anggota juga berganding bahu mengutuk semua bentuk kekejaman dan diskriminasi berdasarkan agama, warna kulit atau kepercayaan, dan mengecam sektarianisme, dan fanatik pengakuan dalam semua bentuk dan manifestasi.

Deklarasi itu menekankan keperluan bagi OIC menyedari perubahan dan perkembangan di peringkat antarabangsa.

Ia menggesa agar pertubuhan itu mengadakan program dan alat untuk memainkan peranannya di peringkat rantau dan antarabangsa yang antaranya bagi mencapai kesepakatan tindakan bersama Islam.

Delegasi Malaysia ke persidangan itu diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, dan diiringi oleh Menteri Hal Ehwal Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta para pegawai dari pejabatnya dan Kementerian Hal Ehwal Luar.

– BERNAMA


Pengarang :