NASIONAL

Op Selamat 15: 106 kematian, 146,408 saman setakat ini

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Sejumlah 106 kematian akibat kemalangan jalan raya direkodkan bagi tempoh enam hari Op Selamat 15 sempena Hari Raya Aidilfitri, kata Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad.

Beliau berkata, sejak dilancarkan pada Rabu lepas sehingga semalam, 10,321 kemalangan termasuk 100 kemalangan maut dilaporkan di seluruh negara membabitkan 14,689 kenderaan.

“Selangor masih merekodkan jumlah kemalangan paling tinggi dengan 3,048 kes, diikuti Johor dengan 1,594 kes dan Kuala Lumpur 1,350 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu, Asmawati berkata 1,898 operasi dilaksanakan di seluruh negara dengan 146,408 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

“Bagi kes pecah rumah dan premis pula, 252 kes direkod sehingga semalam membabitkan 155 kes pecah kediaman, 53 kes pecah kedai dan 28 kes pecah pejabat,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, polis memberi tumpuan pada enam kesalahan utama dalam Op Selamat 15 yang akan berakhir pada 12 Jun.

Enam kesalahan itu ialah memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memandu laju dan tidak mematuhi lampu isyarat.

– BERNAMA


Pengarang :