NASIONAL

Op Selamat catat 221 kematian sehingga hari ke-13

KUALA LUMPUR, 11 JUN: Sebanyak 221 kematian akibat kemalangan jalan raya dicatatkan sepanjang Op Selamat 15 sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini sejak dilancarkan pada 29 Mei lepas sehingga hari ke-13 (semalam).

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Asmawati Ahmad berkata, 14 kematian direkodkan pada Isnin dengan empat daripada kematian itu berlaku di Perak.

Terengganu dan Johor semalam masing-masing merekodkan dua kematian manakala Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Sarawak menunjukkan satu angka kematian, katanya.

Jumlah kemalangan dicatatkan sehingga 10 Jun ialah 21,265 kes iaitu pertambahan 1,750 kes berbanding sebelumnya.

“Op Selamat yang akan berakhir dua hari lagi juga menunjukkan Selangor selaku penyumbang terbesar angka kemalangan dengan 5,487 kes, diikuti Johor dengan 3,293 kes, Kuala Lumpur dengan 2,405 kes sementara Perak dengan 1,843 kes,” kata Asmawati.

Pihak polis juga merekodkan sebanyak 658 kes pecah rumah dan premis dengan Selangor mempunyai rekod paling tinggi iaitu 157 kes, katanya. – BERNAMA


Pengarang :