PBTSELANGOR

Ops besar-besaran kilang plastik haram, MPK beri amaran

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 16 JUN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan melaksanakan operasi membanteras kilang plastik haram secara besar-besaran bermula minggu hadapan.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, operasi terbabit akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan berturut-turut.

Beliau turut memberi amaran tegas kepada pemilik kilang yang beroperasi secara haram supaya menutup kilang sebelum operasi dilaksanakan.

“Bermula minggu hadapan, MPK bersama agensi berkaitan akan mengambil tindakan tegas terhadap kilang-kilang ini.

“Saya menasihatkan pemilik supaya menutup kilang sebelum kami membawa perkara ini ke mahkamah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Streetball 3ON3 Challenge’ 2019, di Galeri Jualan Gravit8, di sini.

Mohamad Yasid berkata, MPK merekodkan sebanyak 47 kilang plastik haram di daerah itu dan sembilan kilang sudah ditutup, manakala sebuah kilang didakwa ke mahkamah.

Katanya, satu ‘task force’ diwujudkan membabitkan pejabat tanah dan daerah, Tenaga Nasional Berhad, Air Selangor dan polis serta lain-lain jabatan berkaitan.

“MPK juga menubuhkan unit khas penguatkuasaan perlesenan kilang. Unit ini akan memeriksa dari kilang ke kilang dan mengeluarkan kompaun bagi setiap kesalahan.

“Pastinya kompaun yang dikenakan sangat tinggi, ini termasuk pekerja-pekerja haram yang membabitkan Jabatan Imigresen,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, Pulau Indah dan Telok Gong adalah kawasan tumpuan kilang plastik haram ini beroperasi.

“Ada kilang lama yang sebahagiannya berdaftar di bawah program pemutihan kilang haram.

“Ada yang diberikan kebenaran kerana tanah itu ditukar kepada industri, namun terdapat banyak masalah menyebabkan ia tidak boleh lagi beroperasi,” katanya.

Mohamad Yasid turut menasihatkan mana-mana pemilik kilang baharu perlu mengikut peraturan sedia ada, malah MPK sedia mendengar sebarang masalah atau pertanyaan.

“Mereka boleh berjumpa dengan saya dan pengarah jabatan jika terdapat kemusykilan, kami boleh memberi penerangan lebih lanjut pada setiap Jumaat,” katanya.


Pengarang :