Empat lelaki seleweng diesel bersubsidi didakwa di mahkamah semalam.
NASIONAL

Orang Asli fail semakan kehakiman selesai isu pampasan tanah

JOHOR BAHRU, 3 Jun : Seramai 51 Orang Asli Seletar dari Kampung Orang Asli Kuala Masai, hari ini memfailkan permohonan semakan kehakiman mandamus di Mahkamah Tinggi, di sini, bagi menyelesaikan isu pampasan tanah di Stulang Laut, di sini, yang masih tertangguh sejak sembilan tahun lepas.

Kesemua mereka yang dipindahkan dari perkampungan asal di Stulang Laut ke Kampung Orang Asli Kuala Masai itu diwakili peguam Tan Poh Lai.

Diketuai Kelah Lah, 38, dan Khalip Bachik, 57, kesemua Orang Asli tersebut sebelum ini berjaya dalam saman pemula yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi, di sini, terhadap tiga defendan pada 2008 iaitu Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Ketua Pengarah Hal Ehwal Orang Asli.

Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Sept 2010, semua Orang Asli itu perlu dibayar pampasan mengikut Akta Pengambilan Balik Tanah 1960, berhubung pengambilan balik yang salah di sisi undang-undang dan pampasan itu perlu ditaksir oleh Pentadbir Tanah Johor Bahru.

Tan yang ditemui pemberita selepas memfailkan permohonan berkenaan pada 9 pagi tadi berkata permohonan semakan kehakiman mandamus difailkan bagi mengarahkan Pengarah Tanah dan Galian Negeri Johor selaku responden pertama melaksanakan penaksiran tanah itu selaras dengan akta dan perintah terbabit.

Beliau berkata Hakim Mahkamah Tinggi, See Mee Chun, hari ini, membenarkan permohonan kesemua Orang Asli tersebut untuk membuat semakan kehakiman berkenaan, namun, satu tarikh akan ditetapkan kemudian bagi perbicaraannya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim, yang turut hadir di mahkamah berharap Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal mengambil tindakan segera menyelesaikan isu bayaran pampasan terbabit termasuk mengharapkan satu tindakan penyelesaian luar mahkamah dapat dibuat sebelum perbicaraan.

“Perintah sudah dikeluarkan pada 2010, tetapi kerajaan yang lama gagal mematuhi perintah mahkamah ini. Oleh itu, kerajaan baharu perlu bersikap positif dan hormati undang-undang.

“Saya menyeru, kalau boleh, kes ini dapat diselesaikan segera sebelum pengurusan kes ini diadakan. Tidak perlu tunggu perbicaraan,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :