NASIONALSELANGOR

PAKATAN Tanjong Karang bantah caj bayaran parkir kereta

 

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 JUN: Pakatan Harapan (PAKATAN) Tanjong Karang membantah tindakan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) yang mengeluarkan notis makluman mengenakan caj bayaran tempat letak kereta di daerah itu bermula 1 Julai ini.

Pengerusinya, Mohd Yahya Mat Sahri berkata, tindakan itu tidak bertepatan dengan waktu memandangkan ia berlaku ketika masyarakat setempat sedang dihimpit dengan tekanan kos sara hidup yang tinggi.

“Sebahagian asal penduduk di daerah terbabit terutama di kawasan Tanjong Karang adalah dalam kalangan petani yang kini berhadapan dengan ketidaktentuan harga tanaman padi dan komoditi.

“Walaupun ada dalam kalangan penduduk daerah Kuala Selangor adalah kakitangan awam, tetapi kesusahan penduduk kampung juga perlu diambil kira kerana Kuala Selangor dan Tanjong Karang adalah kawasan tumpuan penduduk kampung setempat untuk membeli barang seharian, barang keperluan dapur dan urusan bank,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, pihaknya memahami bahawa pelaksanaan itu adalah untuk meningkatkan hasil pendapatan MDKS bagi menampung kos operasi dan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit.

Bagaimanapun katanya, dengan tekanan kos sara hidup yang masih belum stabil, PAKATAN Tanjong Karang melihat tindakan itu hanya mengambil kira keuntungan MDKS berbanding kepentingan rakyat bawahan.

“PAKATAN Tanjong Karang dan Kuala Selangor akan segera mengadakan pertemuan serta menghantar memorandum bantahan untuk diserahkan kepada Dato’ Menteri Besar, EXCO Kerajaan Negeri juga Yang Dipertua MDKS.

“Kami mencadangkan supaya MDKS merujuk kepada Kerajaan Negeri dan Kementerian Perumahan & Kerajaan Tempatan (KPKT) sekiranya MDKS memerlukan peruntukan tambahan bagi menampung perbelanjaan operasi dan pentadbiran MDKS,” katanya.

Semalam, SelangorKini melaporkan pelaksanaan caj bayaran parkir kereta membabitkan jumlah keseluruhan 6,090 tapak di Kuala Selangor, Tanjong Karang, Bestari Jaya, Puncak Alam dan Saujana Utama

Difahamkan, kadar bayaran dikenakan adalah 50 sen sejam bermula 8 pagi hingga 6.30 petang (Isnin hingga Jumaat), kecuali pada hari Sabtu, Ahad dan cuti umum.


Pengarang :