Selangorkini
NASIONAL

Panduan ibu bapa ajar anak hadapi serangan seks

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JUN: Lima siri video pendek disediakan di YouTube sebagai panduan ibu bapa dan pendidik mengajar kanak-kanak jika mereka berdepan beberapa kes serangan seks.

Video sepanjang lebih seminit itu yang dimuatkan di saluran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilancarkan semalam.

Kelima-lima video itu mengajar kanak-kanak yang berdepan jenayah seks mengamalkan tiga langkah mudah: jerit, lari dari pemangsa dan beritahu ibu bapa mereka.

Video pertama itu menunjukkan seorang tutor peribadi lelaki meraba paha pelajar perempuannya, sementara video kedua memaparkan seorang lelaki dewasa menunjukkan kemaluan kepada sekumpulan kanak-kanak di taman permainan.

Jika berdepan dua keadaan itu, kanak-kanak diajar agar menjerit, lari dari lokasi dan terus memaklumkan kepada ibu bapa atau penjaga mereka yang akan menghubungi pihak berkuasa.

Selain menghubungi polis di talian kecemasan 999, menurut video panduan itu lagi, ibu bapa boleh mendapat bimbingan lanjut melalui Talian Kasih di talian 15999.

Manakala, video lain memaparkan kes bapa saudara mengambil gambar tanpa pakaian selepas membawa mangsa bersiar-siar dan video keempat pula menunjukkan kanak-kanak lelaki cuba mencium rakannya.

Siri keempat video mengajar kanak-kanak empat zon larangan sentuh pada badan iaitu mulut, dada, kemaluan dan punggung. Zon ini tidak boleh disentuh sesiapa.

Serangan seks bukan sahaja menjadikan kanak-kanak perempuan sebagai mangsanya tetapi, seperti pada video kelima, ia menunjukkan murid lelaki turut mengalami jenayah seks.

Video terbitan kementerian terbabit dilancarkan oleh menterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Putrajaya semalam.

Panduan animasi ini menyasarkan tontonan 150,000 kanak-kanak berusia tiga hingga empat tahun dalam tahun ini.

“Pengetahuan dan kesedaran yang disampaikan melalui video ini adalah perkara asas yang kanak-kanak perlu tahu untuk mengelakkan diri daripada menjadi mangsa dan membantu mereka mengenal pasti tingkah laku mencurigakan yang sepatutnya dilaporkan,” kata Dr Wan Azizah.

https://www.youtube.com/watch?v=1qYSfgHS5Fc

https://www.youtube.com/watch?v=KIoXsRVrVrA


Pengarang :