BERITA UTAMANASIONAL

Pantun Raya Chong Wei gamit perhatian peminat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 6 JUN: Jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei menggamit tumpuan ramai apabila memberi ucapan Hari Raya Aidilfitri dalam bentuk pantun.

“Chong Wei dah cuba sedaya upaya,
Emas olimpik tidak terdaya,
Kepada semua Selamat Hari Raya,
Mohon maaf atas segalanya,” coretnya di laman Twitter.

Bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, dia bersama isteri, Wong Mew Choo dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua rakan seperjuangan, jurulatih, rakan-rakan serta peminat sukan yang meraikannya.

Katanya, dia juga memohon maaf sekiranya pernah menghampakan peminat sepanjang menceburi kerjaya badminton.

“Ramai kawan I suka guna pepatah ‘Kosong-kosong’. Biarlah saya mohon ‘Luv-all’ dengan semua ibarat starting permainan badminton kita.

“Selepas mengharungi keseksaan kanser, saya menasihatkan semua agar menghayati setiap detik perayaan ini bersama keluarga tersayang.

“Makanlah seberapa boleh ketupat, lemang, rendang yang disediakan Mak atau Nenek. Ambiklah selfie seberapa boleh. Janji, create memories…dan post di sini.

“Oh ya, jangan lupa bawa kereta elok-elok. Be safe, for you and your family,” tulisnya.

Perkongsian pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio, Brazil itu mendapat 1,483 ulang kicau dan 4,235 tanda suka.

Malah, ada juga sebahagian peminat yang turut membalas hantaran Chong Wei itu dalam bentuk pantun.


Pengarang :