NASIONAL

Pasaran getah dijangka meningkat semula minggu depan

KUALA LUMPUR, 22 JUN: Pasaran getah Malaysia dijangka meningkat semula minggu depan berikutan terdapat tanda-tanda pemulihan dalam pasaran niaga hadapan serantau, kata seorang peniaga.

Beliau berkata, pasaran getah akan terus mendapat petunjuk daripada pergerakan harga dalam pasaran niaga hadapan serantau, serta harga minyak mentah dan prestasi ringgit berbanding dolar AS.

‘’Dolar AS bergelut untuk menghalang kerugian mata wangnya pada Jumaat dan bakal berdepan kerugian mingguan berbanding mata wang utama selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat menyertai rakan-rakan globalnya untuk menurunkan kadar faedah untuk menyokong pertumbuhan ekonomi yang lembap,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata harga minyak meneruskan aliran meningkat semalam, dengan minyak mentah Brent mencatatkan peningkatan mingguan buat julung kalinya dalam tempoh lima minggu, berikutan ketegangan di Timur Tengah selepas Iran menembak jatuh dron tentera Amerika Syarikat (AS), dan bersandarkan harapan bahawa penurunan kadar faedah AS akan merangsang pertumbuhan global.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, harga fizikal rasmi Lembaga Getah Malaysia bagi tayar gred SMR 20 susut 23.5 sen kepada 612 sen sekilogram dan lateks pukal turun 7.5 sen kepada 492 sen sekilogram.

Pada penutupan harga pada 5 petang, harga tayar gred SMR 20 jatuh 24.5 sen kepada 608 sen sekilogram dan lateks pukal merosot 6.5 sen kepada 491.5 sen sekilogram.

– BERNAMA

 


Pengarang :