NASIONAL

Pastikan tiada peniaga sorok bekalan – FOMCA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Kerajaan Persekutuan perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang menaikkan harga bahan basah dan keperluan asas selain memastikan tiada kegiatan menyorok bekalan.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan bukan sesuatu yang baharu, malah ia merupakan perkara ‘wajib’ berlaku menjelang musim perayaan.

“Peniaga mula mengambil kesempatan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. Jadi tidak mustahil mereka akan terus menaikkan harga barangan jika tiada tindakan dan kawasan tegas.

“Setiap kali musim perayaan, perkara sedemikian akan berlaku. Ini merupakan perkara ‘wajib’ bagi peniaga,” katanya ketika dihubungi.

Justeru, Mohd Yusof berkata, kerajaan perlu membuat sesuatu selain memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga.

Terdahulu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati tiada kenaikan harga terhadap 27 barangan kawalan dalam tempoh 10 hari selepas pelaksanaan Skim Kawalan Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) pada 21 Mei lepas.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sebanyak 18,000 premis perniagaan telah diperiksa sepanjang tempoh 10 hari skim kawalan harga itu dilaksanakan dan mendapati semua peniaga berjaya mematuhi harga siling yang ditetapkan.

Sebanyak 27 jenis barang disenaraikan mengikut Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) dilaksana bermula semalam hingga 19 Jun sempena Aidilfitri ini.


Pengarang :