NASIONAL

PDRM siasat lanjut kes warga Malaysia disyaki seludup dadah

 

KUALA LUMPUR, 12 Jun : Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman akan menghantar sepasukan pegawai dan anggota ke Indonesia bagi mengambil keterangan serta menjalankan siasatan lanjut berhubung penahanan enam rakyat Malaysia disyaki terbabit dengan penyeludupan dadah pada 4 Jun lepas.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman DCP Zulkifli Ali berkata pasukan itu akan ke Indonesia dalam masa terdekat bagi mengumpul maklumat sebelum tindakan diambil.

“Kami sudah semak latar belakang mereka dan maklumat daripada pihak berkuasa Indonesia mendapati keenam-enam suspek adalah warga Malaysia.

Pasukan kami akan ke sana dan akan mengadakan temu bual dengan mereka,” katanya kepada pemberita selepas sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras di sini, hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan enam warga Malaysia ditahan kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan dadah jenis syabu menggunakan kapal layar mewah.

Polis Indonesia menemui dadah jenis syabu seberat 37 kilogram dalam kapal layar Carron Layner, yang berlabuh di Dermaga Batavia Sunda Kelapa, Jakarta Utara, pada 9.30 malam, Selasa lepas.

Menurut Direktor Jabatan Siasatan Jenayah Polis Indonesia Krisno Siregar, kapal itu dipercayai belayar dari Johor ke Jakarta pada hari yang sama.

Lima suspek rakyat Malaysia yang ditahan itu berasal dari Johor, manakala seorang lagi berasal dari Perak. Dadah berkenaan dipercayai dari Myanmar.

Semua suspek ditahan polis dan kes itu disiasat di bawah Pasal 114 Undang-Undang Nombor 35 Tahun 2019 berkaitan Dadah, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati. -BERNAMA


Pengarang :