SELANGOR

PDT Kuala Langat kutip RM11.7 juta menerusi ‘Jom Bayar & Menang’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 26 JUN: Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kuala Langat berjaya mengutip RM11.7 juta cukai tanah menerusi kempen ‘Jom Bayar & Menang’ bermula 1 Januari sehingga 31 Mei lalu.

Pegawai Daerahnya, Mohd Jusni Hashim berkata, jumlah itu tidak termasuk bayaran yang sudah dijelaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP).

“Sasaran kita adalah RM16 juta untuk tahun ini dan apabila kempen ini dijalankan kita dapat mencapai 60 peratus daripada sasaran sepatutnya.

“Semua tunggakan yang ada sudah dibayar oleh pembayar cukai kerana antara syarat utama untuk menyertai peraduan ini adalah mereka perlu melunaskan tunggakan sebelum ini,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Hadiah Cabutan Bertuah ‘Jom Bayar & Menang’ Cukai Tanah 2019, di Pejabat Daerah Tanah Kuala Langat, di sini, hari ini.

Turut hadir, Tengku Penggawa Muda Paduka Maha Bijaya Orang Besar Daerah Kuala Langat, Tengku Dato’ Mohamed Alhaj Tengku Harun; Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat, Mohamad Zain A Hamid dan Ahli Dewan Negeri Banting, Lau Weng San.

Pada masa sama, Jusni berkata, pihaknya optimis mampu mengutip lebih banyak cukai tanah dalam tempoh enam bulan akan datang dengan mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap mana-mana pemilik tanah yang enggan membayar cukai tanah.

Katanya, cukai tanah adalah tanggungjawab pemilik tanah berdaftar yang perlu dibayar kepada Kerajaan Negeri memandangkan hasil berkenaan akan dipulangkan semula untuk memberi manfaat kepada rakyat.

“Pembeli tanah perlu membayar sewa kerana ia adalah sewa kepada Kerajaan Negeri apabila menduduki satu tanah sama ada tanah pegangan bebas (freehold) atau pegangan sementara (leasehold).

“Kita ada peruntukan dalam Prosedur Perampasan Tanah di bawah Seksyen 100 KTN 1965 sekiranya berlaku keenganan pada satu jumlah yang besar dan kita boleh merampas tanah terbabit daripada pemilik asal,” katanya.


Pengarang :