NASIONAL

Pekerja ladang cedera dipukul kerana durian

KUANTAN, 19 Jun : Seorang pekerja ladang warga Indonesia cedera di kepala kerana dipukul menggunakan belakang parang selepas dituduh mencuri durian di Felda Tembangau 2, Bera dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Bera DSP Mansor Samsudin berkata mangsa yang berusia 35 tahun mendakwa kejadian berlaku pada 5 petang, semasa dia dalam perjalanan menuju ke ladang.

“Mangsa mendakwa suspek telah menahan motosikalnya dan mula memarahinya kerana dituduh mencuri durian miliknya yang ditanam dalam ladang kelapa sawit.

“Mangsa menafikan dakwaan itu bagaimanapun suspek dikatakan tidak berpuas hati lalu memukul mangsa menggunakan belakang parang sepanjang 40 sentimeter sehingga berdarah,” katanya semasa dihubungi di sini, hari ini.

Mansor berkata mangsa terus melarikan diri bagi mendapatkan rawatan di klinik berhampiran dan menerima enam jahitan di bahagian yang didakwa dipukul suspek.

Mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kemanyan, Bera malam tadi, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mansor berkata pihaknya kini sedang mengesan suspek yang dipercayai penduduk tempatan berusia dalam lingkungan 30-an, kerana tidak pulang ke rumah selepas kejadian. -BERNAMA


Pengarang :