BUTTERWORTH, 20 Jun — Tukang besi G. Ravi, 31, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Butterworth hari ini atas tuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian penjaja nasi lemak Roslinda Mohamad Isa, 44, Ahad lalu. Majistret M Kalaiarasi membenarkan ikat jamin RM8,000 ke atas tertuduh dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan setiap bulan bermula hari ini. Sebutan semula kes ditetapkan 22 Julai ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Pekerja ladang tak mengaku bersalah langgar mati peniaga nasi lemak

 

BUTTERWORTH, 20 Jun : Seorang pekerja ladang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian seorang wanita yang sedang berniaga nasi lemak, Ahad lepas.

G.Ravi, 30, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M Kalaiarasi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memandu kereta di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian Roslinda Mohamad Isa, 44, yang sedang berniaga nasi lemak di tepi jalan Taman Bertam Indah, di sini pada 10 pagi, Ahad.

Bapa kepada tiga anak itu didakwa mengikut Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang boleh dihukum penjara tidak kurang daripada tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun dan didenda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berdekatan pada setiap 20 haribulan serta menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan kes. -BERNAMA


Pengarang :