PENDIDIKANSELANGOR

Pelajar PJ diiktiraf terbaik di dunia dalam matematik

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 18 JUN: Seorang pelajar dari Petaling Jaya mengharumkan nama Selangor apabila bergelar pelajar terbaik bagi mata pelajaran matematik dan matematik tambahan di peringkat dunia.

Beliau, Andrew Nge Jing Shuen, 17, berjaya memperoleh anugerah berprestij itu dari Cambridge Assesment International Education ketika ‘Outstanding Cambridge Learner Award’.

Pelajar dari Sekolah Antarabangsa Beaconhouse Sri Inai itu memperoleh markah tertinggi ‘International General Certificate of Secondary Education’ (IGCSE) untuk matematik (tanpa kerja kursus) dan matematik tambahan bagi peperiksaan November tahun lalu.

“Saya amat berbesar hati untuk menerima pengiktirafan antarabangsa ini. Saya suka matematik kerana ia mencabar saya untuk menyelesaikan masalah yang sukar.

“Saya gembira kerana semangat dan kerja keras telah membantu saya mencapai detik yang tidak akan dilupakan ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengetua Eksekutif Sekolah Antarabangsa Beaconhouse Sri Inai, Nicki Coombs berkata, pihaknya amat berbangga dengan pencapaian diperoleh Jing Shuen.

“Beliau bekerja keras dan telah mencipta pencapaian akademik mengagumkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dia benar-benar layak mendapat pengiktirafan antarabangsa ini,” katanya.

Setiap tahun, kira-kira sejuta pelajar dari seluruh dunia mengambil bahagian dalam peperiksaan berasaskan Cambridge International dengan program IGCSE Cambridge.

Peperiksaan itu turut dianggarkan diduduki pelajar dari 50 negara.

FOTO EHSAN: CAMBRIDGE ASSESSMENT INTERNATIONAL EDUCATION/FLICKR


Pengarang :