Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
NASIONAL

Pelan tindakan e-sports siap, tunggu maklum balas pemegang taruh

KUALA TERENGGANU, 22 JUN: Pelan tindakan mengenai pembangunan sukan elektronik (e-sports) telah siap dan dalam proses mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pemegang taruh seluruh negara.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata e-sports antara lain akan menekankan ciri-ciri permainan yang bertanggungjawab bagi mengekang budaya tidak sihat yang dibawa oleh permainan dalam talian.

“Salah satu isu utama dalam pelan tindakan tersebut ialah permainan yang bertanggungjawab yang sangat penting sebab kita tidak mahu orang ketagih dan tidak mahu elemen negatif tersebut berterusan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program penjelajahan FitMalaysia 2019 bagi zon Pantai Timur di Dataran Batu Burok, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Majlis Ulama Aceh (MPU) yang mengeluarkan fatwa mengharamkan permainan dalam talian, PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG), seperti yang dilaporkan semalam.

Syed Saddiq berkata kerajaan masih lagi berpendirian tidak akan mengambil tindakan terlalu cepat untuk mengharamkan permainan dalam talian seumpama itu.

“Kita tidak boleh ambil tindakan terlalu cepat untuk terus haramkan, itu bukan kita, pendirian kita berdasarkan fakta, penyelidikan, sebelum keputusan tersebut dibuat,” katanya.

Sementara itu, program penjelajahan FitMalaysia 2019 bagi zon Pantai Timur yang berlangsung semalam dan hari ini diadakan bagi membudayakan sukan dalam kalangan penduduk negeri ini.

Penganjuran FitMalaysia 2019 di Terengganu yang disertai 15,000 peserta menampilkan pelbagai acara menarik seperti sukan memanah tradisional, bola sepak pantai dan larian ‘fun run’. – BERNAMA


Pengarang :