PBTSELANGOR

Pelancongan Sepang tonjol keunikan budaya, warisan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SEPANG, 29 JUN: Sepang kini dilihat berada di fasa lebih bersedia menjelmakan daerah pelancongan dinamik apabila pakej pelancongan yang menonjolkan keunikan budaya dan warisan bakal ditawarkan kepada pelancong.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang), Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai operator pelancongan bersama syarikat swasta di daerah terbabit.

Katanya, pakej berkenaan merangkumi pakej keluarga, persendirian dan bulan madu, khususnya untuk pasangan baharu berkahwin.

“Semua operator sektor pelancongan perlu memastikan mereka semua dapat menambah baik fasiliti, tarikan atau perkhidmatan yang ditawarkan supaya dapat menarik kedatangan pelancong ke daerah Sepang.

“Industri ini dengan potensi yang sangat besar sedang dipacu untuk menjadi salah satu penjana utama ekonomi daerah dan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Tahun Melawat Sepang 2020 (TMS2020) dan Festival Kebudayaan dan Warisan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Majlis pelancaran itu disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu Tuan Khiew serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airport Holdings Berhad, Raja Azmi Raja Nazuddin.

Pada masa sama, Mohd Fauzi berkata, aktiviti promosi pelancongan akan dilaksanakan secara lebih agresif dan konsisten sebagai langkah mengekalkan momentum TMS2020 serta menarik kedatangan pelancongan ke daerah tebabit.

“Kerja promosi awal sudahpun dilaksanakan antaranya mengadakan Pra Pelancaran Tahun Melawat Sepang pada tahun lalu terutama dalam mengetengahkan kepelbagaian yang kita ada sebagai tarikan.

“Kita juga mengadakan Konvoi Jelajah Malaysia Sempena TMS2020 yang disertai 50 peserta dengan menjelajah ke sembilan pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Perbandaran Seremban, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Majlis Perbandaran Segamat, Majlis Daerah Pekan, Majlis Bandaraya Terengganu, Majlis Perbandaran Kota Bharu, Majlis Daerah Baling, Majlis Bandaraya Pulau Pinang, dan Majlis Daerah Taiping, pada awal tahun ini.

“Ini bertujuan membawa identiti daerah Sepang dan memperkenalkan produk-produk pelancongan seperti keindahan flora serta fauna selain produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS),” katanya.


Pengarang :