NASIONAL

Pelantikan Latheefa hak mutlak PM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 JUN: Pelantikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu, Latheefa Beebi Koya adalah keputusan mutlak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Penerangan BERSATU Selangor, Salleh Amiruddin berkata, pelantikan itu mengikut Akta 694 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam perkara 5(1).

“Yang Dipertuan Agong hendaklah atas nasihat Perdana Menteri, melantik seorang Ketua Pesuruhjaya bagi SPRM untuk selama apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang dinyatakan dalam surat cara perlantikannya.

“Oleh kerana akta 694 ini diwarisi daripada kerajaan terdahulu maka ia masih kekal sebagai akta yang sah, maka pelantikannya tanpa perlu dirujuk kepada kabinet atau Majlis Presiden Pakatan Harapan (PAKATAN) atau Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ia adalah hak mutlak Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.

Salleh turut mempersoalkan tindakan pemimpin yang membantah pelantikan berkenaan.

Sedangkan, katanya, semua pihak perlu menyokong Latheefa dan gembira kerana ia bakal memperkasa usaha membanteras rasuah sama ada kepada pemimpin kerajaan lama atau pemimpin kerajaan baharu.

“Dahulu kita selalu menyebut bekenaan reformasi institusi atau ‘Reinstates of Institution’, malangnya ia hanya sekadar laungan untuk menyedapkan bicara pidato kita.

“Sedangkan kita tidak pernah melihat dan mengkaji akta yang terkandung di dalam undang undang dan peraturan lama yang mengekang kita untuk bertindak serta mengurus negara dengan efisyen.

“Sempena satu tahun PAKATAN memerintah negara berapa banyak akta untuk ‘Reinstates of Institution’ yang kita laungkan dahulu dipinda dan dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Pada masa sama, Salleh berkata, disebabkan pemimpin gagal memahami reformasi institusi itu, maka Dr Mahathir memberikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 5/10 kepada jemaah menterinya.


Pengarang :