PUTRAJAYA, 5 Jun — Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan Ahli Jemaah Menteri di Seri Perdana hari ini. — fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Pelantikan Latheefa sebagai KP SPRM muktamad – Dr. Mahathir

ALOR SETAR, 8 Jun : Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu adalah keputusan muktamad, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Perdana Menteri berkata lantikan itu dibuat seperti mana beliau melantik pegawai lain.

“Tak ada masalah, saya lantik banyak orang, banyak pegawai saya terpaksa lantik, ini (pelantikan Latheefa) satu daripada pegawai, itu saja… (keputusan melantik Latheefa) kalau dah putus, muktamadlah, takkan nak kalih balik, nanti kata saya u-turn,” katanya ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir di Seri Mentaloon di sini, hari ini.

Turut serta isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan isteri Menteri Besar Kedah, Tok Puan Norzieta Zakaria.

Dr Mahathir berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis lepas yang berpendapat Perdana Menteri perlu memperjelaskan pelantikan Latheefa itu selain Dr Mahathir juga ditanya tadi sama ada keputusan pelantikan berkenaan itu muktamad ataupun tidak.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata hubungannya dengan Anwar masih baik dan tiada masalah malah Perdana Menteri menganggap Presiden PKR berkenaan berhak mendapatkan penjelasan mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu itu.

“Dia berhak nak tanya, saya berhak beri jawab,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :