Pelita buluh rezeki Aidilfitri Airee | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Naeem Raffi

Norway

Wartawan

Zareef Muzammil

Pelita buluh rezeki Aidilfitri Airee

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 5 JUN: Tradisi menyalakan pelita di halaman rumah seakan menjadi sesuatu yang wajib menjelang musim perayaan, malah menjadi salah satu budaya masyarakat Melayu bagi menyerikan malam-malam terakhir Ramadan.

Walaupun kini tidak kira di bandar atau kampung, pelita di sekitar kediaman sudah berganti dengan simbahan lampu kelip berwarna warni, namun seorang pekerja kilang minyak dari Kampung Bukit Kuching Tengah, Jeram, di sini, nekad mengembalikan kegemilangannya.


Mohd Nor Airee Ibrahim, 29, berkata, dia mula menghasilkan pelita buluh sejak berusia 22 tahun dan mengintai peluang untuk memasarkannya menerusi laman sosial Facebook.

Katanya, bagi memenuhi permintaan pelanggan sepanjang musim perayaan ini, dia bersama seorang lagi sahabat sanggup meredah hutan dan kebun berhampiran untuk mendapatkan buluh yang sesuai dijadikan lampu pelita tradisional itu.

“Tahun ini permintaan sangat tinggi berbanding tahun-tahun lalu dan sehingga kini saya masih menerima tempahan pada saat akhir tetapi terpaksa tolak sebab tidak cukup pekerja.

“Bagaimanapun, terdapat juga tempahan pelanggan dari luar negeri seperti Perak dan Pahang, tetapi mereka perlu datang sendiri ke sini mengambil pelita buluh memandangkan setakat ini masih belum ada alternatif untuk buat penghantaran pos,” katanya.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu berkata, bekalan buluh bagi penghasilan pelita berkenaan dibeli di kebun milik penduduk kampung dengan harga RM1.50 sebatang.

“Hanya buluh yang lurus digunakan untuk membuat pelita buluh, kalau buluh bengkok memang tidak sesuai, tetapi buluh jenis lurus ini memang agak susah ditemui.

“Sebatang buluh panjang dapat menghasilkan tiga atau empat pelita dan boleh diletakkan sehingga 18 sumbu, manakala bagi setiap sumbu dijual pada harga RM2.

“Satu ruas buluh pula boleh dapat dua sumbu dan setiap ruas dijual pada harga RM4, namun saya cadangkan kepada pelanggan untuk beli dua ruas berharga RM8.

“Namun, kebanyakan respon daripada pelanggan luar mengatakan harga yang saya jual terlampau murah sebab kalau di tempat lain harga asal RM15,” katanya yang sudah menjana keuntungan RM2,000 sejak membuka tempahan sejak awal Ramadan lalu.

Mohd Nor Airee yang dikenali sebagai Ery boleh dihubungi di 017-3924981 atau carian Facebook dengan nama Lionel D’eRy.

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next