SELANGOR

Pemaju projek JAKESS bermasalah dikenakan tindakan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 JUN: Syarikat pemaju yang diberikan tender melaksanakan projek membina bangunan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Selangor (JAKESS) bakal dikenakan tindakan ekoran berlaku pelbagai kerosakan pada bangunan itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, selain bangunan JAKESS yang mengalami kerosakan bumbung runtuh dan cermin pecah, bangunan pejabat agama di daerah turut mengalami kelewatan untuk disiapkan.

“Dari tahun ke tahun sejak 2008 kita telah cuba selesaikan dengan pemaju terbabit yang diberikan tender sebelum 2008, bukan satu tempat tetapi banyak tempat membabitkan semua pejabat agama di daerah-daerah juga berlaku kelewatan.

“Kerajaan Negeri sedia maklum dan kita dah arahkan untuk ambil tindakan segera seperti mendapatkan pampasan mengikut lunas undang-undang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika hadir pada program Mantai Perdana Shah Alam Aidilfitri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam di sini, hari ini.

Amirudin berkata, syarikat pemaju itu diberikan tender sebelum 2008 lagi.

Katanya, proses baik pulih sedang dijalankan dan ditanggung Kerajaan Negeri.

Sebelum ini, beberapa struktur bangunan JAKESS dilihat mengalami beberapa kerosakan seperti bumbung runtuh dan beberapa kerosakan lain.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)


Pengarang :