ALAM SEKITAR & CUACA

Pembangunan, dasar perhutanan perlu lebih sensitif

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 JUN: Semua pembangunan di kawasan luar bandar termasuk dasar perhutanan perlu lebih sensitif dan berhati-hati pada masa akan datang.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, ia perlu mengambil kira semua faktor termasuk isu kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

Mengulas isu kematian 14 Orang Asli di Kuala Koh, Gua Musang katanya, alam kehidupan golongan itu perlu dipelihara memandangkan genetik mereka berbeza dengan masyarakat moden dan tidak mampu mengadaptasi persekitaran masa kini.

“Pembalakan, perlombongan dan pembangunan yang tidak terancang merupakan antara faktor penting membuatkan mereka berisiko tinggi diancam kepupusan kerana ia bakal menyebabkan berlaku perubahan alam.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua dalam memastikan golongan Orang Asli ini terus mendapat perlindungan. Ini kerana Orang Asli terutama suku-suku kecil seperti Batek mempunyai bilangan yang semakin mengecil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, meskipun kematian Orang Asli itu bukan disebabkan faktor pencemaran alam, namun adalah menjadi tanggungjawab Kerajaan dan Jabatan Orang Asli (JAKOA) memberi perhatian yang serius terhadap mereka.


Pengarang :