NASIONAL

Pembangunan perlu ambil kira keselesaan rakyat – Anwar Ibrahim

SUNGAI PETANI, 29 Jun : Setiap usaha kerajaan untuk pembangunan negara ini perlu mengambil kira keselesaan rakyat supaya tidak menjejaskan kebajikan mereka.

Mengambil contoh isu pencemaran udara yang berlaku di Johor Bahru baru-baru ini, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan kilang mudah dibangunkan di situ namun kesihatan rakyat terjejas dengan pembangunan berkenaan.

“Pengalaman kita di Johor kita bangunkan dengan mudah, (tetapi) ada pencemaran (sehingga) kesihatan anak-anak kita terjejas. Jangan sambil kita bangun, kita robohkan. Apa yang kita bangunkan? Kilang, apa yang kita robohkan? Kesihatan anak-anak kita.

“Oleh itu, sekarang ini kita teliti, supaya tumpu perhatian kepada pembangunan tetapi jangan abaikan keselesaan hidup rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Keadilan Kedah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bakar Arang.

Turut hadir Adun Bakar Arang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam, Sains dan Teknologi, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar Kedah Ooi Tze Min dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kedah Datuk Johari Abdul.

Pada 20 Jun lepas, media melaporkan seramai 15 pelajar Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, Johor Bahru mengalami simptom muntah-muntah dan sesak nafas selepas terdedah dengan pencemaran udara di kawasan itu.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan di bawah pimpinan Pakatan Harapan (PH) perlu memberikan tumpuan utama kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat terlebih dahulu dan bukannya hanya soal politik semata-mata.

“Kena ingat apa saja perubahan mesti sentuh hati rakyat dan kehidupan rakyat,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :