NASIONAL

Pencemaran bau: 14 sekolah ditutup hingga Khamis

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PASIR GUDANG, 23 JUN: Kerajaan Johor mengarahkan 14 lagi sekolah di Pasir Gudang ditutup sementara berikutan gelombang kedua pencemaran bau, pagi tadi.

EXCO Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat selepas tiga lagi sekolah mengalami sesak nafas dan muntah-muntah di sekolah terbabit, pada jam 11 pagi tadi.

“Pihak bomba menerima panggilan jam 11 pagi daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nusa Damai, Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Dahlia dan SK Kopok. Mereka membuat saringan kepada 20 orang dikesan mengalami gejala sesak dan muntah-muntah.

“Sehubungan itu, Jawatankuasa Teknikal dan Saintifik dalam mesyuarat membuat ketetapan supaya sekolah-sekolah berada dalam jajaran lokasi kejadian yang dikenal pasti ditutup selama empat hari bermula esok sehingga 27 Jun (Khamis) ini,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, antara sekolah terbabit adalah SK Bukit Dahlia, SK Taman Cahaya Masai, SK Felda Cahaya Baru, SK Kong Kong Laut, SK Taman Nusa Damai, SK Kopok, SK Kota Masai 3, SK Taman Cendana.

Selain itu, katanya, SMK Taman Nusa Damai, SMK Pasir Gudang, SMK Kota Masai, SJK (T) Pasir Gudang, SK Taman Scientex dan SMK Taman Scientex.

“Ini termasuk dua sekolah ditutup sebelum ini iaitu SK Pasir Gudang 4 dan SMK Pasir Gudang 2.

“Turut terbabit sama adalah institusi pengajian awam, sekolah-sekolah agama kerajaan Johor yang dikenal pasti termasuk semua pra sekolah dan Tadika,” katanya.

Sehingga jam 3.30 petang tadi, seramai 13 orang dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala 49 orang menerima rawatan di klinik sementara di Stadium Tertutup dan Klinik Kesihatan Pasir Gudang.

Bagaimanapun sehingga kini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersama agensi terbabit sedang melakukan siasatan untuk mengenal pasti punca kepada pencemaran bau yang dikesan di sekolah berkenaan.


Pengarang :