Selangorkini
NASIONAL

Pencemaran jejas sebuah lagi sekolah

JOHOR BAHRU, 21 JUN: Kejadian pencemaran udara yang dilaporkan berlaku di Sekolah Agama Taman Mawar, Pasir Gudang, petang semalam, turut menjejaskan sebuah lagi sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Pasir Gudang 4.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata kejadian bagaimanapun hanya mengakibatkan 13 murid dan dua kakitangan dari kedua-dua sekolah itu yang dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru, setakat ini.

“Murid yang terlibat berusia antara tujuh hingga 12 tahun. Empat daripadanya dimasukkan ke Zon Merah (kritikal), tiga (Zon Kuning-separa kritikal) dan lapan yang lain termasuk dua kakitangan sekolah dimasukkan ke Zon Hijau (tidak kritikal). Tiada yang masuk wad,” katanya dalam sidang media selepas melawat sekolah terbabit di sini.

Mohd Khuzzan berkata punca kejadian masih disiasat dan keadaan juga sudah terkawal.

“Sementara waktu ini, kita tidak ada keperluan untuk membuka bilik gerakan, namun kita akan pantau situasi kerana pihak bomba memaklumkan keadaan bacaan kualiti udara sekarang adakah kosong, maksudnya baik.

“Jadi, kita akan terus pantau sehingga Jumaat, Sabtu, dan segala keputusan kita akan buat selepas itu,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai agar tidak panik kerana pihak berkuatkuasa sedang melakukan yang terbaik untuk memantau situasi.

“Kalau mereka (penduduk) di kawasan sekitar ini ada masalah, terus dapatkan rawatan dan jangan tunggu lama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Johor, Tosrin Jarvanthi memberitahu pihak Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan memberi peruntukan sebanyak RM400 kepada murid yang dirawat di hospital dan RM200 kepada yang tidak dirawat.

“Bantauan akan mula diedarkan esok selepas mendapat maklumat daripada guru besar sekolah dan peruntukan akan diedar melalui pihak sekolah,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :