–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Pengagihan hasil kutipan cukai pelancongan akan diteruskan

BUKIT MERTAJAM, 15 JUN: Pengagihan hasil cukai pelancongan kepada negeri akan diteruskan setiap tahun apabila 50 peratus akan diberikan balik ke negeri seperti yang dijanjikan kerajaan, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Lim berkata pengagihan untuk kutipan cukai pelancongan pada 2019 dijangka diberikan kepada setiap negeri pada suku pertama tahun 2020.

“Kita tepati janji, bukan seperti kerajaan dahulu janji tetapi tidak bagi…kutipan cukai pelancongan tahun 2018 telah dibayar awal tahun ini dan pembayaran akan diteruskan setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri DAP Pulau Pinang di sini hari ini.

Beliau berkata Pulau Pinang merupakan negeri yang kedua terbanyak menerima pengagihan cukai pelancongan iaitu sebanyak RM10 juta selepas Sabah yang mendapat RM12 juta.

“Bagi pembayaran cukai pelancongan kepada setiap negeri, kita akan mengikut proses yang sama iaitu kerajaan persekutuan akan membayar balik 50 peratus daripada jumlah cukai yang dikutip dari setiap negeri,” katanya.

Cukai pelancongan merupakan cukai yang dikutip daripada pelancong asing iaitu RM10 untuk satu malam bagi yang tinggal di hotel atau tempat penginapan berdaftar.

Dalam laporan Mac lalu, selain Sabah dan Pulau Pinang, pembayaran 50 peratus hasil cukai pelancongan juga diterima Selangor iaitu sebanyak RM10.3 juta, Johor (RM7.99 juta), Pahang (RM7.86 juta), Melaka (RM5.35 juta), Kedah (RM5.08 juta), Sarawak (RM2.58 juta), Negeri Sembilan (RM2.47 juta), Perak (RM1.25 juta), Terengganu (RM1.03 juta), Kelantan (RM150,000) dan Perlis (RM20,000).

Sementara itu, Lim yang juga Setiausaha Agung DAP turut mengingatkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Pinang supaya meneruskan usaha mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Walaupun pemerintahan di Pulau Pinang masuk penggal ketiga, kita tidak boleh terlalu leka dengan sokongan yang ada dan semua aduan rakyat harus diambil serius.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim; Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman bersama-sama ribuan rakyat berbilang kaum hadir memeriahkan Majlis Rumah Terbuka DAP Pulau Pinang di sini.

-BERNAMA


Pengarang :