EKONOMI

Penggabungan Axiata – Telenor masih di peringkat cadangan

 

CYBERJAYA, 17 Jun : Rancangan penggabungan antara Axiata Group Bhd, Malaysia dan Telenor Group dari Norway masih di peringkat cadangan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata pihaknya berpandangan cadangan penggabungan itu adalah sesuatu yang positif memandangkan ia melibatkan syarikat Malaysia.

“Berdasarkan rancangan besar ini, ia menjadi perkara yang diberi perhatian oleh seluruh dunia sekali gus membuka peluang kepada Malaysia untuk menunjukkan kita memiliki undang-undang yang mencukupi untuk menguruskan penggabungan sedemikian,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Makmal Digital Dell di sini, hari ini.

Gobind berkata pihaknya juga memberi perhatian sama ada usaha penggabungan ini akan mengakibatkan kehilangan pekerjaan.

“Apa yang kita utamakan adalah sama ada usaha atau penggabungan ini akan menyebabkan kehilangan pekerjaan, namun saya telah bertemu pihak berkenaan, dan mereka menunjukkan bahawa langkah penggabungan ini akan mewujudkan pekerjaan baharu.

“Bagaimanapun ia masih di peringkat cadangan, jadi kita perlu beri ruang untuk mereka memutuskan apa yang mereka mahu laksanakan. Pastinya mereka akan mengemukakan cadangan akhir, ketika itu barulah kita akan mengulas mengenai perkara tersebut…saya berpendapat masih terlalu awal untuk mengulas perkara,” katanya.

Bulan lepas, Axiata mengumumkan ia mengadakan perbincangan dengan Telenor Group untuk menggabungkan operasi mereka di Asia, termasuk rancangan bagi menggabungkan anak syarikat mereka iaitu Celcom Axiata Bhd dan Digi.Com Bhd, menjadi pengendali mudah alih terbesar Malaysia.

Pada Mei lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah ditanya mengenai perincian rancangan penggabungan tersebut susulan wujudnya kebimbangan ini boleh menyebabkan potensi kehilangan pekerjaan.

Mengenai video seks yang didakwa melibatkan menteri peringkat persekutuan, Gobind berkata perkara itu telah diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Saya tidak akan mengulas mengenai perkara ini kerana ia kini di bawah siasatan polis, jadi biarlah polis menjalankan tugas mereka dan mengumumkan perkembangan lanjut,” katanya. -BERNAMA


Pengarang :