SELANGOR

Penjara Kajang lepas dua banduan 7 hari sambut Aidilfitri

KAJANG, 4 JUN: Penjara Kajang hari ini memberi pelepasan secara berlesen selama tujuh hari buat dua banduannya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Pengarah Penjara Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abd Kadir Rais berkata, pelepasan itu adalah satu bentuk pemulihan banduan melalui penglibatan keluarga mereka.

Perasaan diterima semula dan berada di samping keluarga adalah satu bentuk sokongan yang penting buat banduan terutamanya apabila mereka cuba kembali semula ke pangkuan masyarakat.

“Kita perlu beri mereka peluang kedua. Esok apabila merasai sambutan Hari Raya bersama keluarga ia akan menggalakkan lagi mereka melakukan sikap baik tanpa dibelenggu kesilapan masa lalu.

“Sokongan komuniti ini penting supaya banduan tidak kembali semula melakukan perkara yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam sidang media pada majlis pelepasan kedua-dua banduan itu di sini, hari ini.

Pelepasan berlesen yang diberikan Jabatan Penjara itu mengikut Seksyen 43 Akta Penjara 1995 yang merupakan keistimewaan hanya untuk banduan yang layak dan memenuhi syarat yang ditetapkan.

Antara syarat yang ditetapkan termasuk banduan perlu berkelakuan baik, telah menjalani hukuman tidak kurang dari empat tahun dan mempunyai baki hukuman tidak lebih dari setahun.

Seorang daripada dua orang yang menerima keistimewaan itu hari ini, Muhammad (bukan nama sebenar), 36, berkata pembebasan ini satu permulaan bagi dirinya untuk mengatur kehidupan baharu setelah menjadi penghuni tirai besi selama tujuh tahun.

“Pembebasan ini bukan hanya sekadar untuk balik beraya, tetapi saya ada pelbagai perancangan yang ingin dilakukan sebagai persiapan untuk kehidupan setelah bebas nanti terutama dari sudut pekerjaan dan perhubungan bersama keluarga.

“Saya dah lalui pelbagai program pemulihan dan sebagai pelengkapnya, tempoh tujuh hari (pelepasan) ini umpama ujian bagi diri saya untuk mengintegrasikan diri semula dalam masyarakat,” katanya ketika ditemui pada majlis sama.

Muhammad, yang dijemput pulang oleh keluarganya pagi tadi, turut mengakui teruja untuk berbuka puasa pada hari terakhir Ramadan bersama keluarga setelah tujuh tahun tidak dapat berbuat demikian.

Dalam pada itu, Muhammad turut menegaskan bahawa pemenjaraan bukanlah satu penamat atau noktah dalam kehidupannya dan dia berterima kasih kepada Jabatan Penjara yang menyediakan program pemulihan.

“Sebagai contoh, saya terlibat dengan pogram pendidikan pengajian tinggi sehingga membolehkan saya berjaya peroleh Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains Politik dari Open University Malaysia dan kini dalam proses menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Sosial bahagian Kriminologi dari Universiti Sains Malaysia,” katanya.

Seorang lagi banduan yang dilepaskan secara berlesen dijangka dijemput oleh keluarganya pada petang ini.

– BERNAMA

 


Pengarang :