SUKANKINI

Pentas Olimpik penentu hala tuju Zii Jia – Misbun

 

KUALA LUMPUR, 2 Jun : Pentas Olimpik menjadi platform paling sesuai untuk pemain perseorangan lelaki negara Lee Zii Jia untuk menentukan hala tuju dalam karier badmintonnya.

Pemain berusia 21 tahun itu harus bijak memanfaatkan peluang terhidang di depan mata berikutan ketiadaan jaguh perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei serta pemain perseorangan lelaki lain seperti Chong Wei Feng dan Liew Daren pada temasya sukan itu.

Ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek berkata berada di gelanggang pertandingan pada temasya Sukan Olimpik dan pencapaian pemain kelahiran negeri Jelapang Padi itu akan membantunya mengukir nama dalam arena badminton negara dan antarabangsa.

“Dia (Zii Jia) harus ambil kesempatan ini. Kesempatan untuk membina legasi dia sendiri. Dia harus banyak bertanya, banyak berfikir, banyak menganalisa permainan lawan dan harus tempatkan diri dia di mana, adakah dia harus sama dengan orang lain. Itu yang akan menentukan arah tuju dia.

“Kalau pada pandangan saya, untuk Zii Jia ini, pentas Olimpik adalah satu petanda untuk menentukan arah tuju dia,” katanya kepada Bernama.

Menurut Misbun, kalau dilihat dari segi prestasi, anak didiknya itu sudah kian menghampiri pemain ternama yang berada di ranking terbaik dunia namun kemenangan masih belum berpihak kepada pemain itu di pentas tertinggi.

Beliau berkata tahap kematangan yang ada pada Zii Jia masih belum mencapai tahap yang dikehendaki meskipun pemain itu kini sudah mula mendapat liputan media dan tumpuan daripada pemain lain.

“Dari segi kematangan, keseimbangan latihan diterapkan belum mencapai tahap sebenarnya yang disasarkan, ia perlukan masa.

“Saya ‘jaga’ dia baru hampir satu tahun setengah tapi dia banyak menerima ilmu yang diterapkan daripada pasukan dan juga daripada ketiadaan Chong Wei sekarang, jadi dia sedang cuba menampakkan diri dia,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kesediaan untuk jatuh atau bangun, kalah atau menang serta memiliki tahap disiplin tinggi perlu dijadikan kunci untuk mencipta kejayaan sebagai seorang yang mahu bergelar jaguh sukan. -BERNAMA

 

Kredit Foto Facebook Lee Ziijia


Pengarang :