NASIONAL

Penularan pneumonia di Kuala Koh bukan sebab aktiviti perlombongan

GUA MUSANG, 14 Jun : Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata penularan penyakit radang paru-paru (pneumonia) dalam kalangan masyarakat Orang Asli suku Batek di Kampung Kuala Koh di sini, bukan disebabkan aktiviti perlombongan bijih manganese.

Beliau berkata keputusan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kimia pada 12 Jun secara keseluruhan mendapati kualiti air di kawasan persampelan iaitu Sungai Lebir adalah mematuhi Standard Kualiti Air Minum Kebangsaan Bagi Air Mentah.

“Keputusan pada 12 Jun juga mendapati tiada pencemaran daripada sisa kelapa sawit, pestisid dan herbisid.

“Siasatan yang dijalan oleh Jabatan Alam Sekitar juga mendapati tiada sebarang pelepasan sisa dan perlombongan manganese (bijih keluli) di Felda Aring 10 yang terletak kira-kira 10 kilometer dari perkampungan Orang Asli Kuala Koh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau dan mendengar taklimat tertutup di Pusat Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADM) di Dewan Felda Aring 10 di sini, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata bagaimanapun kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan akan mengesan punca sebenar penularan pneumonia yang berlaku di kawasan perkampungan tersebut.

“Ini satu fenomena baharu yang tidak melanda Orang Asli (pada waktu) dahulu. Kita nak tahu kenapa penularan penyakit yang mengakibatkan kematian mendadak sebab kita dapati mereka memang ada masalah kronik sejak beberapa tahun lepas.

“Apakah yang menyebabkan penyakit ini tercetus sehingga menyebabkan kematian. Keputusan ujian makmal (terhadap penularan penyakit ini) dijangka akan diperoleh dalam masa terdekat sebab dia kena kenal pasti mikroorganisma menerusi sampel yang diambil daripada pesakit dan mayat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata kerajaan juga sedang memikirkan cara bagaimana untuk membantu masyarakat ini untuk menikmati tahap kehidupan yang lebih baik berbanding ketika ini.

“Salah satunya kawasan rayau mereka juga semakin mengecil menyebabkan mereka kurang mendapatkan protein yang mencukupi sehingga mengakibatkan malnutrisi.

“Sumber pendapatan mereka juga semakin berkurangan kerana masalah tersebut jadi kita fikirkan bagaimana nak tangani masalah pemodenan dan kemiskinan (yang melanda Orang Asli),” katanya.

Dalam masa yang sama, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata selain rawatan kesihatan, kerajaan juga memberikan kaunseling kepada keluarga mangsa dan petugas bagi mengurangkan keresahan yang dialami mereka.

“Setakat ini, kita membuka sebuah pusat pemindahan sementara di bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Etnobotani Gua Musang untuk menempatkan pesakit Orang Asli yang telah dibenarkan keluar daripada hospital.

“Kem berkenaan mampu memuatkan 400 orang pada satu-satu masa namun pergerakan mereka akan dihadkan kerana siasatan terhadap pelbagai perkara yang menyumbang kepada penyakit tersebut masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negara kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi pampasan kepada keluarga mangsa Orang Asli yang meninggal namun perkara tersebut akan diputuskan kemudian selepas semua siasatan selesai.

Katanya mana-mana pihak yang mahu memberikan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghantar barangan keperluan seperti bekalan makanan dan kit kesihatan kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat Gua Musang dan pusat pengumpulan bantuan di kawasan operasi.

“Bagaimanapun kita mengehadkan kawasan berkenaan kepada orang awam susulan pengisytiharan kawasan merah oleh Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan baru-baru ini,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli suku Batek yang terjejas dengan penularan penyakit tersebut.

Hadir sama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P Waytha Moorthy dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Statistik terbaharu yang diperoleh di Pusat Media menunjukkan seramai 103 Orang Asli telah menerima rawatan sehingga 13 Jun membabitkan 56 pesakit luar, 42 ditempatkan di wad biasa dan lima di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Gua Musang, Hospital Kuala Krai dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) Kota Bharu.

Daripada jumlah tersebut, ia membabitkan 50 lelaki dan 53 perempuan, melibatkan 53 kanak-kanak di bawah 12 tahun dan 52 pesakit dewasa. -BERNAMA


Pengarang :