NASIONAL

Penunggang motosikal maut rempuh lori menggelongsor

IPOH, 11 JUN: Seorang penunggang motosikal maut selepas merempuh sebuah lori yang tiba-tiba menggelongsor di Kilometer 263.1 Lebuhraya Utara Selatan, arah utara dekat hentian Vista Point semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Mohd Ali Tamby berkata, mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira 3 petang itu dikenali sebagai Mohd Najib Ismail, 21, pekerja swasta berasal dari Kampung Teluk Bakong, Batu Pahat, Johor.

Katanya, siasatan awal mendapati lori tanpa muatan itu yang dipandu seorang lelaki sedang dalam perjalanan dari Sungai Buloh, Selangor ke Gerik dan berhenti seketika di Vista Point.

“Apabila pemandu berada di luar kenderaan, lori itu secara tiba-tiba menggelongsor dari laluan Vista Point ke tengah jalan sebelum dilanggar mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang berada di belakang.

“Penunggang motosikal maut di tempat kejadian dan bedah siasat mendapati kematian berpunca daripada “Chest and Intra-Abdominal Injuries Consistent with Road Traffic Crash’,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mohd Ali berkata, pemandu lori terbabit memaklumkan dia memberhentikan kenderaan itu kerana mendakwa lori berkenaan menghadapi masalah enjin.

Katanya, pemandu berumur 48 tahun dari Kuala Kubur Baru itu ditahan untuk membantu siasatan.

-BERNAMA


Pengarang :