NASIONAL

Penyanyi mengaku tidak bersalah simpan anak beruang matahari

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Seorang penyanyi wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menyimpan dan mengurung seekor anak beruang Matahari jantan di rumahnya di Desa Pandan, minggu lepas.

Zarith Sofia Yasin, 27, yang berbaju merah jambu kelihatan tenang berdiri di kandang tertuduh dan menggangguk faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor.

Mengikut pertuduhan pertama, Zarith Sofia didakwa menyimpan seekor beruang Matahari (Herlactos Malayanus), hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Jadual Kedua Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010, tidak matang, tanpa permit khas.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 69(1) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 69(1) akta sama yang memperuntukkan denda sehingga RM200,000 atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-dua jika sabit kesalahan.

Penyanyi itu turut didakwa mengurung beruang berkenaan di dalam premis yang tidak sesuai atau kondusif bagi keselesaan atau kesihatan hidupan liar tersebut mengikut Seksyen 86(1)(c) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM5,000 dan maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di sebuah unit rumah Kondominium Sentrio Pandan, Desa Pandan di sini pada 8 malam, 6 Jun lalu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Munirah Zainal Abidin tidak menawarkan ikat jamin dengan alasan jenayah melibatkan haiwan hidupan liar yang terlindung adalah serius serta melibatkan kepentingan awam.

“Namun, jika mahkamah ingin memberikan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jumlah RM30,000,” katanya.

Bagaimanapun Zarith Sofia yang diwakili peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay Abdullah memohon mahkamah membenarkan ikat jamin dengan alasan tertuduh mempunyai tanggungan keluarga.

“Anak beruang yang dikatakan dijumpai itu telah dijaga dan dalam keadaan baik,” kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 19 Julai untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA


Pengarang :