NASIONAL

Penyelia ditipu syarikat pelaburan tak wujud

 

KUANTAN, 4 Jun : Hasrat seorang penyelia untuk membuat pinjawan wang bagi dijadikan modal perniagaan lebur selepas diperdayakan oleh syarikat pinjaman kewangan tidak wujud di laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata mangsa berusia 31 tahun itu juga mendakwa kerugian RM79,636 yang dibayar bagi urusan pentadbiran pinjaman itu.

Mangsa mendakwa mengetahui mengenai ‘kewujudan’ syarikat itu melalui iklan di Facebook pada 19 April lepas, lalu mengisi borang permohonan secara dalam talian pada hari sama.

“Tiga hari kemudian, mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada suspek dan mangsa memberitahu mahu meminjam RM500,000 untuk dijadikan modal pusingan jual beli kelapa sawit.

“Mangsa diminta untuk menghantar dokumen peribadi termasuk penyata bank dan salinan kad pengenalan yang dikatakan sebagai urusan pentadbiran yang diserahkannya pada 22 April lalu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata mangsa mendakwa menerima surat kelulusan pinjaman pada petang hari yang sama, dan diminta membuat transaksi yang berlanjutan sebanyak 13 kali ke dalam akaun berasingan.

Mangsa akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan pada petang semalam, kerana berasa tertipu apabila masih tidak menerima wang yang dijanjikan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan. -BERNAMA


Pengarang :