NASIONAL

“People Power Saves Malaysia’ ungguli anugerah pilihan pembaca

KUALA LUMPUR, 2 JUN: Sebuah buku bertajuk ‘May 9: People Power Saves Malaysia – Mahathir Leads the Way’ hasil karya wartawan veteran M. Krishnamoorthy mengungguli Anugerah Pilihan Pembaca Popular-The Star kategori bukan cereka.

Krishnamoorthy yang juga profesor madya di HELP University dalam kenyataan hari ini berkata, buku itu menerima undian tertinggi dalam kategori itu pada majlis anugerah Popular Bookfest yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

Beliau berkata, buku keenamnya itu dipilih sebagai buku terbaik dalam kalangan sembilan lagi pencalonan diikuti oleh ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street’ manakala buku ‘The People’s Victory: How Malaysians Saved Their Country’ mendapat tempat ketiga.

“Perasaan saya terhadap Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah satu kenangan dengan pemimpin berusia 93 tahun mentadbir negara dan saya rasakan ini perlu direkodkan dalam buku.

“Saya harus berterima kasih kepada Dr Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) dan semua rakyat Malaysia kerana memberi inspirasi kepada saya untuk menulis buku ini,” katanya.

Buku itu mencatatkan kisah yang berlaku sepanjang PRU14 pada Mei 2018 yang menggulingkan kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas enam dekad memerintah negara, meraih undian tertinggi untuk memenangi hadiah pertama RM3,000 dan sebuah trofi, menerusi tinjauan dalam talian yang dikendalikan oleh pengedar buku terkemuka, Popular Book Company (M) Sdn Bhd.

Dalam karya beliau, Krishnamoorthy menumpukan antara lain peranan penting yang dimainkan Dr Mahathir dalam mendorong rakyat Malaysia daripada semua kaum apabila memimpin Pakatan Harapan ke Putrajaya.

– BERNAMA

-Foto Kredit: VOIZ asia

 


Pengarang :