Selangorkini
KUALA LUMPUR, 15 Jun — Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah (tengah) berkenan berangkat tiba bagi merasmikan Raja Zarith Sofiah Centre For Advanced Studies On Islam, Science and Civilisation (RZS-CASIS) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini. –fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA
NASIONAL

Peranan pusat pengajian Islam bimbing umat Islam, elak kekeliruan

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan umat Islam masa kini yang lebih suka mencari jawapan segera dalam talian daripada menimba ilmu dari pusat-pusat keilmuan berkaitan.

Baginda bertitah bahawa kini menjadi trend untuk menolak bimbingan dan nasihat majlis-majlis agama Islam rasmi dan sebaliknya bersetuju tanpa keraguan dengan individu atau kumpulan yang bukan cendekiawan Islam.

“Malangnya, kita membaca banyak komen di media sosial yang menunjukkan kita mencari jawapan segera melalui Google dan tidak sebaliknya menimba ilmu dari dari pusat-pusat seperti Pusat Pengajian Lanjutan mengenai Islam, Sains dan Tamadun (CASIS), dan menghormati para cendekiawan menuntut ilmu daripada cendekiawan yang lebih tua melalui pengajian dan penyelidikan selama beberapa dekad,” katanya.

Titah baginda, apa yang lebih membimbangkan ialah peningkatan bilangan apa yang disifatkan sebagai ustaz dan ustazah Facebook serta imam Google.

Permaisuri Johor bertitah demikian semasa pelancaran dan pemasyhuran pusat itu sebagai Pusat Pengajian Lanjutan mengenai Islam, Sains dan Tamadun Raja Zarith Sofiah (RZS CASIS) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini malam tadi.

Raja Zarith Sofiah menarik perhatian bahawa peranan CASIS dan pusat-pusat pengajian Islam lain di universiti-universiti lain adalah membimbing umat Islam dan mengelakkan kekeliruan dalam amalan dan pemikiran.

“Demi generasi umat Islam yang akan datang, kita harus mengakui bahawa pengetahuan akademik dan bimbingan para cendekiawan Islam adalah satu-satunya cara kita dapat menghormati dan meneruskan legasi yang diwarisi kepada kita beribu tahun yang lalu,” titah baginda.

Baginda juga mengumumkan bahawa Profesor Dr Wan Mohd Nor Wan Daud, pengasas dan bekas pengarah CASIS, sebagai penyandang pertama Kursi Syed Muhammad Naquib Al-Attas dalam Pemikiran Islam yang ditubuhkan di RZS CASIS.

Kursi itu dinamakan sebagai penghormatan kepada pemikir Melayu Islam yang ulung dalam dunia kontemporari.

CASIS mula berfungsi sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran di UTM Kuala Lumpur pada 2011. – BERNAMA


Pengarang :